KUALA SELANGOR: Polis masih lagi menunggu laporan pakar mengenai surat ugutan bunuh yang diterima oleh Ketua Pembangkang Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo bulan lepas, kata Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar.
Katanya beliau tidak dapat menjangkakan bila laporan analisis ke atas surat ugutan bunuh itu seperti kesan cap jari dan DNA boleh diperolehi kerana ia dilakukan oleh pakarpakar luar seperti Jabatan Kimia.
Polis masih lagi menjalankan siasatan dan mengharapkan laporan pakar mengenai DNA atau cap jari yang mungkin dikesan pada surat itu dapat membantu siasatan kes berkenaan, katanya kepada pemberita selepas upacara serah tugas kepada Ketua Polis Daerah Kuala Selangor yang baru DSP Mohd Taib Ahmad daripada pemangku Ketua Polis Daerah DSP Zulkifli Jonit di sini hari ini.
Bekas Menteri Besar dan Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Panjang itu membuat laporan polis selepas menerima surat ugutan bunuh yang ditulis tangan di dalam Bahasa Melayu 17 September lepas.
Sementara itu, Khalid mengalualukan pelantikan Mohd Taib sebagai seorang Ketua Polis Daerah yang baru dan berkata beliau akan memangku pangkat Superitendan.
Mohd Taib, 49, pula berkata beliau telah berkhidmat selama 27 tahun di dalam pasukan polis dan sebelum bertukar ke sini beliau adalah Pegawai Turus Perkhidmatan Perjawatan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan. BERNAMA


