suria

Mayat polis bantuan dengan kesan tembakan ditemui dalam kereta

SEPANG: Seorang anggota polis bantuan yang dilaporkan hilang sejak dua hari lepas ditemui mati dengan kesan tembakan di dada kanan dan kirinya, di tempat letak kereta berhampiran pintu masuk Litar Sepang awal pagi tadi.

Mayat mangsa yang hanya dikenali sebagai Tahir, 39, ditemui dalam keadaan berlumuran darah di tempat duduk pemandu kereta Proton Iswara miliknya kira-kira 1 pagi oleh polis peronda Ibu Pejabat Polis Sepang.

Mangsa yang bertugas sebagai polis bantuan di Bank Simpanan Nasional cawangan Seremban, dilaporkan hilang bersama senjata api jenis Smith & Wesson .38 oleh pihak pengurusan bank tersebut pada Rabu lalu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, ACP Khaw Kok Chin berkata mangsa dipercayai ditembak dari jarak dekat dalam insiden yang berlaku kurang daripada 24 jam sebelum mayat mangsa ditemui.

"Turut ditemui di tempat kejadian ialah dua kelongsong peluru yang dipercayai telah digunakan untuk menembak mangsa dan sepucuk Smith & Wesson .38 milik mangsa yang di dalamnya terdapat tiga peluru yang belum digunakan," katanya. Khaw berkata siasatan awal menunjukkan mangsa tidak disamun memandangkan barang milik mangsa seperti beg duit dan telefon bimbit masih berada pada mangsa.

Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Serdang.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar yang dihubungi mengklasifikasikan kematian lelaki itu sebagai kes bunuh. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain