suria

H1N1: 10 kes baru dicatatkan hari ini

SEPANG: Sepuluh kes terbaru influenza A(H1N1) dikesan pada pagi hari Khamis melibatkan sembilan penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka dan seorang pesakit di Hospital Sungai Buloh, Selangor.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai ketika mengumumkan perkara itu mengakui bahawa beliau gusar dengan perkembangan tersebut memandangkan penularan tempatan penyakit itu semakin merebak.

Katanya, kesemua pegawai kanan Kementerian Kesihatan termasuk Ketua Pengarah telah diarahkan supaya menjalankan pemantauan yang lebih rapi termasuk mengambil langkah menutup fakulti universiti berkenaan jika keadaan memaksa.

"Saya benar-benar gusar dengan keadaan ini apabila menerima laporan tersebut pagi tadi. Walaupun hanya 10 kes, tapi semuanya ialah kes tempatan.

"Status pesakit semuanya stabil tetapi kita tetap risau kerana apabila virus ini merebak, mangsa yang sememangnya mempunyai komplikasi kerana penyakit lain akan mengalami keadaan yang lebih teruk sekiranya dijangkiti H1N1," katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan 20 buah mesin hemodialisis di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta memberikan perkembangan terkini berhubung influenza A(H1N1) atau selesema babi di negara ini.

Liow berkata, daripada 10 kes berkenaan, hanya dua pesakit dimasukkan ke hospital iaitu masing-masing satu di Hospital Melaka dan Hospital Sungai Buloh. Pesakit yang dirawat di Hospital Sungai Buloh didapati mengalami komplikasi pneumonia.

"Lapan lagi pesakit menjalani rawatan sebagai pesakit luar dan dikuarantin di rumah masing-masing," katanya.

Katanya, H1N1 memerlukan kawalan yang menyeluruh kerana ia merebak dengan cepat dan mudah berjangkit.

"Apabila H1N1 merebak, kadang-kala kematian berlaku bukan disebabkan oleh penyakit ini, tetapi kerana pesakit itu sudah sedia ada penyakit lain. Sebab tu saya katakan semua lapisan masyarakat kena ambil langkah berjaga-jaga terhadap pengasingan dan pengawalan wabak.

"Langkah-langkah menjarak sosial perlu diambil untuk mengelak penyakit ini merebak kepada orang lain. Jika anda batuk, selsema atau demam, jangan jangkitkan kepada orang lain. Penyakit ini berjangkit kalau ada selesema, batuk atau demam," katanya.

Ketika mengulas mengenai saranan supaya fakulti UiTM Melaka ditutup ekoran perkembangan tersebut, Liow berkata langkah itu hanya akan diambil sekiranya keadaan benar-benar mendesak.

"Kita tak boleh sewenang-wenangnya menutup (fakulti). Kalau semua langkah kawalan gagal, baru kita akan tutup. Setakat ini semua langkah yang dilaksanakan berhasil. Kita masih dapat mengesan pesakit dan kontak.

"Kita perlu lihat penyebaran ini bermula dari mana, sama ada dari bilik kuliah, asrama atau fakulti," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata jumlah terkumpul kes Influenza A(H1N1) yang disahkan di negara ini kini sebanyak 835 kes iaitu 562 kes import dan 273 kes jangkitan tempatan.

Katanya daripada jumlah itu 705 orang atau 84 peratus daripada mereka telah sembuh, 105 orang atau 13 peratus sedang menerima rawatan sebagai pesakit luar di rumah dan 25 orang atau tiga peratus sedang dirawat di hospital.

Merujuk situasi global, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan bahawa sehingga 8 pagi hari ini jumlah terkumpul kes Influenza A(H1N1) yang dilaporkan kepada pertubuhan itu adalah sebanyak 116,954 kes dengan 557 kematian dari 146 buah negara iaitu pertambahan 2,262 kes dengan dua lagi negara baru iaitu Marshall Islands dan Tonga.

Negara yang melaporkan pertambahan kes tertinggi ialah Filipina (959 kes), Australia (561 kes), Jepun (488 kes), Hong Kong (78 kes) dan Korea Selatan (55 kes). BERNAMA

Artikel Lain