suria

Harta benda milik pengedar dadah bernilai RM22.4 juta disita

KUALA LUMPUR: Harta benda milik tiga anggota sindiket pengedaran dadah jenis syabu termasuk seorang yang bergelar "Datuk" bernilai RM22.4 juta disita di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB)(Perlucuthakan Harta) 1988.

Timbalan Pengarah Perlucuthakan Harta, Tahanan dan Perundangan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu pejabat polis Bukit Aman, SAC 1 Datuk Ismail Yatim berkata kesemua harta itu disita berikutan kejayaan polis merampas dadah seberat hampir satu tan yang bernilai kirakira RM254 juta di KM150 Jalan Kuantan-Segamat dekat Cenderawasih, Rompin dalam "Ops Gazania" pada 2 Mei lepas.

"Hasil daripada siasatan yang terperinci dan menyeluruh, Bahagian Perlucuthakan Harta berjaya mengesan dan menyita harta benda kepunyaan tiga anggota sindiket serta 14 orang sekutu termasuk empat entiti syarikat/perniagaan yang dipercayai berkaitan dengan aktiviti pengedaran dadah," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini, semalam.

Beliau berkata antara harta benda yang disita termasuk harta alih dan harta tidak alih iaitu wang tunai bernilai RM65,994.95, jumlah wang dalam akaun berjumlah RM4.62 juta, lapan buah rumah dan kedai (RM7.8 juta), 16 bidang tanah (RM9.4 juta) dan tujuh buah kenderaan bermotor (RM445,000).

Beliau berkata nilai sitaan itu merupakan paling tinggi dalam satu kes narkotik sejak penguatkuasaan Akta Dadah Berbahaya (ADB) (Perlucuthakan Harta) 1988.

"Siasatan kes itu mendedahkan bahawa sindiketsindiket pengedaran dadah memperoleh wang dan pendapatan yang lumayan hasil daripada aktiviti haram mereka dengan menjalankan pelbagai perniagaan seperti memelihara ikan.

Seterusnya wang dan pendapatan yang diperoleh digunakan untuk membeli harta benda seperti rumah dan tanah, kemudian disalurkan ke syarikat perniagaan untuk tujuan penggubahan wang haram," katanya.

Dalam kejadian kes rampasan dadah terbesar itu, seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk' berusia 30-an adalah antara empat suspek utama ditahan berhubung kes tersebut.

Ismail berkata JSJN berjaya menyita harta benda pengedar dadah bernilai lebih RM405 juta sejak 1988 bagi tempoh tiga tahun terakhir sehingga bulan ini mengikut ADB (Perlucuthakan Harta).

Menurutnya, Perlucuthakan Harta merupakan satu senjata yang sangat berkesan dalam membanteras jenayah narkotik dengan melumpuhkan sumber dan keupayaan sindiket pengedaran dadah dan sekutu mereka. BERNAMA

Artikel Lain