suria

Polis dan JPJ diarah banteras lori lebih muatan di Sarawak

SIBU Polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) diarah mengambil tindakan terhadap lori balak lebih muatan yang sering menggunakan jalan raya awam di Sarawak, terutama pada waktu malam.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Robert Lau Hoi Chew berkata beliau menerima beberapa aduan daripada orang ramai mengenai kegiatan itu.

"Lori-lori ini membawa balak dengan muatan berlebihan yang cukup melampau. Itu sebabnya mereka biasa beroperasi pada waktu malam untuk mengelak daripada dikesan pihak berkuasa. Mereka ini yang bertanggungjawab merosakkan jalan raya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi dialog tertutup dengan anggota Persekutuan Pertubuhan-pertubuhan Pengusaha Lori Sarawak di sini hari ini.

Sementara itu Lau berkata statistik menunjukkan bahawa lebih 6,500 orang maut akibat kemalangan jalan raya dalam negara setiap tahun.

"Ia menunjukkan purata 18 kematian tiap sehari. Ia belum mengambil kira mereka yang cedera akibat kemalangan lagi. Angka ini boleh dikurangkan sekiranya masyarakat mengambil berat terhadap aspek keselamatan dan mematuhi semua peraturan trafik semasa di jalan raya," katanya. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain