suria

ADUN galas kini uzur hidap barah perut

KOTA BHARU: Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS kawasan Galas di Parlimen Gua Musang, Che Hashim Sulaima, 45, kini dilaporkan dalam keadaan uzur akibat kanser perut.

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau telah menghubungi Che Hashim semalam dan bertanya khabar mengenai keadaan ADUN itu.

"Semalam saya hubungi dia, memang dia sakit barah dan uzur sekarang ini. Dia menjalani proses kimoterapi di Kuala Lumpur," katanya kepada pemberita di Kota Darulnaim di sini Khamis.

Menurut sumber rakan terdekat Che Hashim berkata beliau kini sentiasa berulang-alik dari kawasannya ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan kimoterapi bagi penyakitnya itu, yang kini berada di tahap empat.

"Semua ahli keluarganya jarang berada di rumah di Taman Tropika, Galas dan Kampung Kerinting, di Galas," katanya kepada Bernama.

Sementara itu pemimpin PAS dan anggota keluarga terdekat ketika dihubungi enggan mendedahkan sebarang maklumat mengenai keadaan Che Hashim.

Tinjauan Bernama mendapati di pejabat PAS Kawasan Parlimen di Bandar Gua Musang turut mengadakan majlis tahlil dan bacaan surah Yassin bagi mendoakan kepada Allah agar Che Hashim segera sembuh.

Ketua Pergerakan Pemuda Umno Gua Musang Bazlan Baharuddin berkata beliau juga mendapat khabar daripada anggota keluarga Che Hashim mengenai perkara itu.

"Saya cuba menziarahi Che Hashim untuk melihat keadaannya namun tidak berpeluang kerana dia sentiasa tiada di rumah. Sudah lama saya dapat tahu, tapi keadaannya sekarang dikatakan serius.

"Kami dan Pemuda Umno akan turut mengadakan bacaan surah Yassin dan mendoakan agar Che Hashim segera sembuh dan sihat," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain