suria

Ahli perniagaan mengaku tidak bersalah buat pernyataan palsu

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap dua pertuduhan membuat pernyataan palsu berkaitan peletakan jawatan dua pengarah syarikat kira-kira dua tahun lepas.

Albert Ng Keng Wan@ Ng King Wan, 66, didakwa membuat satu pernyataan palsu dalam borang 49 bertarikh 28 Sept 2007 yang diserahsimpan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) berkaitan dengan peletakan jawatan Wong Ha, 57, dan Datuk Yusuf @ Mohd Yusuf Kamari, 72, sebagai pengarah dalam syarikat Orion Express (M) Sdn Bhd.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat SSM, Tingkat 2, 1018, Putra Place, Jalan Putra, di sini antara 28 Sept 2007 dan 2 Okt 2007.

Bagi pertuduhan kedua, Ng didakwa di tempat yang sama melakukan kesalahan sama iaitu berkaitan dengan peletakan jawatan Wong Ha, 57, dan Yusuf sebagai pengarah dalam syarikat Vistashine Sdn Bhd antara 28 Sept 2007 dan 30 Okt 2007.

Untuk kedua-dua kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 364 (2) Akta Syarikat (Akta 125) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda RM250,000 atau kedua-duanya sekali.

Hakim Rozana Ali Yusoff kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin warga Malaysia dan menetapkan 10 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa Raya Suruhanjaya Syarikat Malaysia Mohd Zulkhairi Kamarulzaman manakala Ng diwakili peguam bela Ashok Kandiah. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain