suria

Polis tumpaskan sindiket jual senjata api, empat lelaki ditahan

KUALA LUMPUR: Polis berjaya mematahkan sindiket penjualan dan pemilikan senjata api di sini dengan tertangkapnya empat lelaki termasuk seorang ahli bina badan dan seorang perunding syarikat kewangan baru-baru ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Wira Mohammad Sabtu Osman berkata tangkapan pertama dilakukan pada 27 Mei lepas dan susulan itu tiga lagi suspek diberkas dalam tempoh lima hari kemudian.

"Salah seorang daripada empat suspek yang ditahan itu ialah pembeli senjata api terbabit. Selain ahli bina badan dan perunding syarikat kewangan, dua lagi yang ditahan bekerja sebagai juru kimpal dan penjual buahbuahan," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Hasil dari tangkapan serta soalsiasat ke atas suspek pertama, polis merampas sepucuk Revolver .38 jenama Smith & Wesson buatan Amerika Syarikat, 40 butir peluru hidup 9mm dan 31 butir hidup .38 pelbagai jenis, sepucuk Spear Gun jenama 'Liebao Bow', (1) set Crossbow bersama lima batang anak panah dan sehelai Armour Vest jenama 'Jack Ellis Body Protection'.

"Kita percaya senjatasenjata api ini diseludup masuk dari sebuah negara jiran di utara Semenanjung dan kemudiannya akan dijual kepada individu tertentu," katanya.

Mohammad Sabtu juga berkata polis tidak menolak kemungkinan pembeli menggunakan senjata api ini untuk tujuan jenayah.

Katanya, kesemua suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut dan kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau keduaduanya sekali.

Sementara itu, polis masih menjejaki dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes samun sebuah van kawalan keselamatan di Taman Segar, Cheras, yang melibatkan kehilangan wang tunai berjumlah RM8.24 juta, 18 Mei lepas.

Mohammad Sabtu berkata suspek pertama dikenali sebagai Victor Thomas a/l Thomas, bernombor kad pengenalan 730427145159 dan beralamat terakhir di Lot 674 Kampung Baru Tambahan Semenyih, Selangor.

"Suspek kedua dikenali sebagai Ravindran a/l Krishnan memegang kad pengenalan bernombor 830717085957. Alamat terakhir suspek di No. 43, Kadang Bedrock, Bidor, Perak.

"Saya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung keduadua suspek ini supaya menghubungi balai polis berdekatan," katanya.

Kejadian kira-kira 7 petang itu berlaku ketika empat pengawal keselamatan syarikat Mahmood Security baru selesai membuat kutipan harian milik syarikat telekomunikasi Celcom di kawasan berkenaan.

Dua pengawal keselamatan ketika itu berada dalam van terbabit manakala dua orang lagi berada di luar apabila mereka diserbu tiga lelaki bertopeng yang mengacukan pistol ke arah keduadua mangsa yang berada di luar.

Keempat-empat pengawal keselamatan yang berumur lingkungan 30 hingga 40 tahun itu dikatakan panik dan hanya melihat van mereka dilarikan suspek sebelum menghubungi syarikat mereka. BERNAMA

Artikel Lain