suria

Bacaan IPU semakin baik, jarak penglihatan 10km

KUALA LUMPUR: Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di seluruh negara menunjukkan keadaan semakin pulih dengan 39 kawasan mencatatkan tahap baik manakala 11 lagi dalam keadaan sederhana.

IPU yang dicatatkan dalam laman web Jabatan Alam Sekitar pada 11 pagi ini menunjukkan bacaan bagi Pelabuhan Klang bertambah baik iaitu 54 berbanding 67 semalam.

Empat kawasan iaitu Putrajaya, Cheras, Shah Alam dan Petaling Jaya yang mencatatkan bacaan sederhana semalam, bertambah baik hari ini dengan masing-masing 51, 57, 45 dan 44.

Bacaan IPU 050 menunjukkan kualiti udara baik, 51100 sederhana, 101200 tidak sihat dan lebih 300 berbahaya.

Bagaimanapun, kualiti udara di Bintulu, Sarawak merosot kepada 63 daripada 56 semalam, manakala Miri yang mencatatkan bacaan 76 semalam merekodkan bacaan baik hari ini iaitu 35.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Meteorologi Malaysia berkata jarak penglihatan di semua kawasan melebihi 10 kilometer, kecuali di Petaling Jaya, Melaka dan Butterworth di Pulau Pinang hanya lapan hingga sembilan kilometer.

Sebanyak tujuh titik panas dikesan di Semenanjung Malaysia iaitu masing-masing satu di Selangor, Kedah, Perak, Kelantan dan tiga titik panas di Pahang.

Enam titik panas pula dikesan di Sarawak, 99 di Sumatera dan 11 di Kalimantan, manakala tiada titik panas dikesan di Sabah. BERNAMA

Artikel Lain