suria

24 anggota polis disabit kesalahan di mahkamah sejak 2004

KUALA LUMPUR: Sejumlah 24 orang anggota dan pegawai polis telah disabitkan kesalahan di mahkamah dalam tempoh 2004 hingga 2008, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Daripada jumlah itu, 12 anggota disabitkan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan cedera (enam orang), curi (dua) dan masing-masing seorang anggota bagi kes pecah rumah malam hari, menolong menyembunyikan senjata curi dengan cuai, membiarkan seseorang lari daripada pengurungan dan ceroboh rumah.

Empat anggota lain disabit kesalahan di bawah Akta Polis (pembolosan), empat anggota bersalah kerana kes rasuah selepas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), seorang disabitkan kesalahan di bawah Akta Senjata 1960 kerana memiliki senjata tanpa lesen dan seorang bagi setiap kes di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, iaitu memasukkan dadah dalam badan, penagihan dadah dan memiliki dadah.

Hishammuddin berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) yang ingin tahu jumlah anggota polis yang disabitkan di mahkamah dan kesalahan-kesalahan yang disabitkan bagi tempoh lima tahun lepas.

Sehubungan dengan kesalahan yang disabitkan di mahkamah itu, katanya beberapa jenis hukuman telah dikenakan terhadap anggota berkenaan termasuk denda (12 kes), penjara (tujuh kes), penjara dan denda (dua kes) dan bon kelakuan baik (tiga kes).

"Pegawai dan anggota polis yang disabitkan kesalahan di mahkamah akan dikenakan tindakan tatatertib oleh Pihak Berkuasa Tatatertib di bawah Peraturan 33 (1) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, atas dasar mereka disabitkan kesalahan di mahkamah," katanya. BERNAMA

Artikel Lain