suria

Tarif elektrik kekal - TNB

KUALA SELANGOR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan mengekalkan kadar tarif elektrik sedia ada selagi harga minyak, gas dan arang batu tidak berubah, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh hari ini.

Beliau berkata, apa yang penting bagi agensinya sekarang adalah memastikan keberkesanan penggunaan elektrik.

"Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) mengadakan perbincangan bersama TNB baru-baru ini berhubung isu (kenaikan kadar tarif elektrik) dan maklum balas yang saya bagi ialah TNB akan cuba mengekalkan kadar tarif elektrik sebaik mungkin," kata Che Khalib kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pemantapan Program Pintar TNB di sini, hari ini.

Kerajaan menerusi Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi baru-baru ini mengumumkan penurunan kadar tarif elektrik sebanyak 3.7 peratus daripada 32.5 sen/kWj kepada 31.31 sen/kWj, mulai 1 Mac 2009.

Bekas menterinya, Datuk Shaziman Abu Mansor dilaporkan berkata, tarif bagi pengguna domestik turun purata 2.54 peratus manakala tarif untuk pengguna komersial dan industri masing-masing turun 2.7 peratus dan 5 peratus. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain