suria

Mayat reput dalam but kereta dipercayai dibunuh

KUALA LUMPUR: Mayat seorang wanita yang sudah berulat dipercayai dibunuh ditemui dalam but sebuah Proton Saga yang diparkir di sebuah pangsapuri, Taman Serdang Perdana, Seksyen 2, Seri Kembangan di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Zainal Rashid Abu Bakar berkata pihaknya belum dapat mengenal pasti identiti mayat wanita itu kerana keadaannya yang reput.

"Kita menerima maklumat dari pekerja di sini kira-kira pukul 10.30 pagi ekoran bau busuk dari dalam bonet kereta tersebut. Setelah diperiksa polis mendapati mayat tersebut dibungkus dengan kain cadar sebelum diikat di bahagian kaki, perut dan bahu serta dibungkus sekali lagi dengan kain langsir," katanya kepada pemberita.

"Mayat tersebut dipercayai dibunuh kira-kira seminggu lalu, dan tiada senjata ditemui di dalam kenderaan tersebut," katanya.

Zainal Rashid berkata pihaknya percaya mangsa dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya disumbat ke dalam bonet kereta berkenaan dan ditinggalkan di kawasan perumahan ini.

Mayat wanita itu dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

Beliau berkata polis telah memaklumkan kepada pemilik kenderaan tersebut yang merupakan seorang lelaki berbangsa Cina dan tinggal di Taman Connaught, Cheras.

Pemilik kereta itu bagaimanapun tidak membuat sebarang laporan polis terhadap kehilangan keretanya.

Sementara itu, seorang pengawal keselamatan pangsapuri itu, Riduan Dollah, 27, berkata beliau telah menerima aduan dari penduduk di situ tiga hari lalu yang mengadu terhidu bau busuk di kawasan parkir kereta yang terletak di bahagian belakang pangsapuri terbabit.

Katanya, beliau tidak pernah melihat kenderaan tersebut sebelum ini. BERNAMA

Artikel Lain