suria

Timbalan pengurus ladang sawit maut ditikam

KUALA SELANGOR: Seorang pengurus ladang kelapa sawit maut ditikam kirakira 100 meter dari rumahnya ketika sedang dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Ladang Bukit Cloh, Jeram di sini pagi ini.

Mangsa Abd Razak Ani, 39, berasal dari Kampung Gersik, Muar, Johor, dipercayai diserang dua lelaki dengan menggunakan parang dan kayu dalam kejadian kira-kira 7.30 pagi.

"Mangsa mengalami kecederaan parah dengan tiga kelaran di tangan kanan dan tetakan di bahu kiri," kata Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Supt Ibrahim Chin.

Beliau berkata Abd Razak dipercayai telah bergelut dengan penyerangnya kerana terdapat beberapa kesan darah di tempat kejadian.

"Mangsa dikejarkan ke Klinik Kesihatan Jeram untuk rawatan lanjut namun disahkan meninggal dunia. Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Tanjong Karang untuk dibedah siasat," kata Ibrahim.

Beliau berkata motif pembunuhan mungkin turut berpunca dari tindakan membalas dendam berikutan barangan milik mangsa seperti jam tangan, dompet dan telefon bimbit masih berada bersama mangsa.

Katanya orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi ASP Abu Bakar Hamed di talian 012-6683503 atau balai bolis berhampiran bagi membantu siasatan. BERNAMA

Artikel Lain