SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 16 Jun untuk mendengar bantahan Peguam Negara berhubung permohonan semakan semula keputusan Pendakwa Raya yang tidak membuat rayuan terhadap pembebasan Abdul Razak Abdullah Baginda.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Noraini Abdul Rahman membuat keputusan itu dalam kamar setelah Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Kamaluddin Md Said yang mewakili Peguam Negara dan peguam Wong Kian Kheong, yang mewakili Abdul Razak memohon memfailkan hujahan bantahan.
Hari ini sepatutnya untuk perbicaraan kes itu.
Pada 24 Disember lalu, Shaariibuu Setev, bapa Altantuya Shaariibuu, wanita Mongolia yang dibunuh dua tahun lepas mengemukakan permohonan agar disemak semula keputusan Pendakwa Raya tidak membuat rayuan terhadap pembebasan penganalisis politik itu daripada tuduhan bersubahat membunuh anaknya.
Dalam permohonan itu, yang dikemukakan menerusi peguam Karpal Singh menamakan Peguam Negara dan Abdul Razak sebagai defendan.
Abdul Razak dibebaskan oleh Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yassin pada 31 Oktober lepas daripada tuduhan bersubahat dengan dua anggota polis daripada Unit Tindakan Khas melakukan pembunuhan itu.
Dalam kes itu, Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar diperintah membela diri. BERNAMA


