suria

ASEAN mahu pelan damai komprehensif Palestin-Israel

HUA HIN, Thailand: Langkah-langkah yang diperbaharui mesti dilakukan oleh semua pihak bagi mencapai perdamaian komprehensif di mana Palestin dan Israel dapat hidup bersama, kata tokoh-tokoh ASEAN hari ini.

Mereka berkata, Palestin dan Israel hendaklah hidup dalam aman dengan sempadan tetap dan diiktiraf, sebagaimana menurut resolusi 1850 (2008) Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu, dan Inisiatif Damai Arab.

"Ke arah matlamat ini, rundingan Palestin-Israel perlu diadakan secepat mungkin," kata Tokoh-tokoh ASEAN dalam kenyataan Pengerusi di akhir Sidang Kemuncak ASEAN Ke-14 hari ini.

Situasi di Gaza telah dibincangkan pada sidang itu di mana pemimpin-pemimpin berkenaan menekankan tentang peri mustahaknya kebajikan rakyat Palestin di Gaza.

Difahamkan isu itu telah ditimbulkan oleh delegasi Malaysia, yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Kami menggesa supaya tiada halangan terhadap penyaluran bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin di seluruh Gaza demi meringankan kesengsaraan mereka.

"Kami menyokong segala usaha, serantau dan antarabangsa, bertujuan mencapai gencatan senjata berkekalan di sana," kata mereka.

Dalam hubungan ini, ASEAN menggesa penyertaan aktif semua negara terlibat di Persidangan Antarabangsa mengenai Pembinaan Semula Gaza anjuran Mesir di Sharm ElSheikh Isnin ini.

Pemimpin itu juga menyambut baik usaha perdamaian di kalangan rakyat Palestin khususnya perjanjian terbaru antara pelbagai puak di Palestin bagi mewujudkan jawatankuasa-jawatankuasa ke arah pembentukan sebuah kerajaan perpaduan.

Minggu lepas, beberapa kumpulan Palestin memulakan dialog bagi merangka rancangan untuk menangani pelbagai isu dalam usaha untuk menyatukan semula rakyat Palestin selepas perbalahan selama 18 bulan antara Gaza dan Tebing Barat. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain