suria

Pengerusi DAP: Timbalan Speaker Perak tidak lompat parti

[DIKEMAS KINI, 12 TENGAH MALAM] PETALING JAYA: Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham menafikan desas-desus bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelapang dari DAP, Hee Yit Foong, yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, telah menyertai Barisan Nasional (BN).

Beliau mengakui bahawa pada mulanya pihaknya tidak dapat menghubung Hee.

Bagaimanapun beliau dimaklumkan bahawa ada Exco Kerajaan Negeri DAP yang telah menghubungi ADUN berkenaan.

"Beliau ada, tidak ke mana-mana... cuma beliau pulang ke kampungnya kerana hadiri majlis perkahwinan saudara beliau," kata Ngeh ketika dihubungi mStar Online tengah malam tadi.

"ADUN DAP (Hee) masih lagi kekal dan akan teruskan usaha mentadbir Perak... tidak ada sesiapa yang hendak keluar parti," katanya.

Ngeh berkata, beliau percaya khabar angin yang disebarkan kononnya ADUN berkenaan keluar parti adalah tidak berasas dan sengaja disebarkan oleh pihak-pihak tertentu untuk menjejaskan pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat di Perak.

Dalam pada itu, Hee berkata, beliau kecewa dengan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang tidak menyiasat sebelum mengeluarkan kenyataan petang tadi.

"Lim tidak menghormati saya dan saya telah berada dalam parti ini selama 22 tahun.

"Saya tidak hadir mesyuarat tergempar hari ini (semalam) yang diadakan oleh Menteri Besar sebab saya kurang sihat dan menutup telefon saya," kata beliau pada sidang media di Ipoh.

Di Georgetown, Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, mana-mana ADUN DAP di Perak yang gagal dihubungi melebihi tempoh 24 jam akan dianggap mempunyai hasrat meletakkan jawatan mereka sebagai wakil rakyat di negeri itu.

"Dalam perkembangan di Perak, saya menegaskan mana-mana ADUN DAP di negeri itu yang tidak dapat dihubungi lebih daripada 24 jam akan dianggap berniat untuk meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat," katanya kepada pemberita di sini.

BERITA TERDAHULU

[DIKEMAS KINI, 7 PETANG] PETALING JAYA: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin yakin dua ahli Exco Kerajaan Negeri dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), yang hilang sejak lima hari lalu akan keluar daripada Pakatan Rakyat.

Beliau bagaimanapun menafikan desas-desus yang turut mengatakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelapang dari DAP, Hee Yit Foong, yang juga Timbalan Speaker turut akan keluar parti.

Hee juga pernah disebut-sebut akan keluar DAP dan Pakatan Rakyat pada Mei lalu.

"Tak ada, tak ada... tak ada dari DAP yang akan keluar parti.

"Saya hanya yakin dua ADUN dari PKR yang hilang itu sahaja yang akan keluar dari parti mereka.

"Saya sangat yakin tambahan pula Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) turut mengeluarkan kenyatannya hari ini bahawa ada dua ADUN dari Perak akan menyertai BN (Barisan Nasional)," katanya kepada mStar Online kira-kira pukul 6.40 petang tadi.

Namun Menteri Besar itu tidak mengesahkan sama ada kedua-dua exconya itu akan menyertai BN ataupun menjadi wakil rakyat bebas.

PENDIRIAN DAP

Di George Town, Ketua Menteri Pulau Pinang dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pula berkata, "mana-mana wakil rakyat DAP di Perak yang tidak mengadakan hubungan bagi tempoh 24 jam tanpa sebarang sebab, parti akan mempertimbangkan dengan mendalam untuk memanggil pilihan raya kecil."

Media hari ini melaporkan anggota keluarga ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd. Radzi dan ADUN Changkat Jering, Kapt (B) Mohd Osman Jailu gagal menjejaki kedudukan mereka sejak lima hari lalu.

Jamaluddin, 52, merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan, Usahawan, Koperasi, Pertanian dan Perladangan manakala Osman, 57, merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Pembangunan Insan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan.

Kedua-dua mereka didakwa di Mahkamah Sesyen pad 25 Ogos lalu kerana dikatakan menerima rasuah bagi mendapatkan satu projek iaitu cadangan membangunkan tanah seluas 36.42 hektar bernilai RM180 juta di kawasan pusat bandar Seri Iskandar dekat sini secara usahasama dengan Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT).

Nizar berkata hingga kini (petang ini) pihaknya masih belum dapat menghubungi kedua-dua ADUN berkenaan.

Ditanya sama ada pihaknya akan membuat laporan polis berhubung kehilangan mereka, beliau berkata tindakan seperti itu tidak perlu.

"Saya rasa tiada keperluan untuk kita buat laporan polis kerana kita yakin mereka disimpan oleh pihak-pihak tertentu.

"Daripada kenyataan Perdana Menteri kita dah boleh tahu mereka ada di mana, jadi buat apa nak buat laporan," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain