suria

Abdullah mahu warga Wilayah Persekutuan pentingkan kualiti

KEMAS... Salah satu kontijen perbarisan ketika sambutan Festival Hari Wilayah Persekutuan 2009 yang ke-35 di Taman Tasik Titiwangsa.
KEMAS... Salah satu kontijen perbarisan ketika sambutan Festival Hari Wilayah Persekutuan 2009 yang ke-35 di Taman Tasik Titiwangsa.
KEMAS... Salah satu kontijen perbarisan ketika sambutan Festival Hari Wilayah Persekutuan 2009 yang ke-35 di Taman Tasik Titiwangsa.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengingatkan semua warga Wilayah Persekutuan (WP) agar sentiasa memberikan perkhidmatan yang berkualiti dan mesra.

Menurutnya warga WP, tidak kira sama ada di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, bertanggungjawab untuk memastikan kesinambungan kemajuan yang dikecapi hari ini kerana ia banyak bergantung kepada warganya yang memberikan pelbagai perkhidmatan, tidak kira di sektor awam mahupun swasta.

Katanya apa juga perkhidmatan yang diberikan perlu berteraskan kepada perkhidmatan yang baik, cekap, mesra dan ceria kerana menurutnya ini semua akhirnya akan membawa kebahagiaan kepada semua warga WP.

"Sama ada perkhidmatan kemudahan awam, kedai-kedai makanan, khidmat yang diberikan mesti berkualiti.

"Walaupun dia hanya jadi tukang kebun tapi tukang kebun yang mengindahkan dan elokkan kawasan.

"Walaupun jadi pekerja warung, makanannya perlu baik dan bersih dan mesra memberi layanan," katanya selepas melancarkan sambutan dan Festival Hari Wilayah Persekutuan di Tasik Titiwangsa di sini.

Sambutan sempena Hari Wilayah Persekutuan itu bertemakan "Wilayah Maju Warga Sejahtera" dan diserikan dengan pelbagai acara seperti perarakan bendera, persembahan kebudayaan serta acara-acara sukan, pertandingan melukis, memasak dan gubahan bunga.

Abdullah berkata Wilayah Persekutuan mengandungi penduduk pelbagai kaum dan mereka perlu sentiasa mengekalkan perasaan harmoni, sikap toleransi, keamanan, dan hormat menghormati antara satu sama lain seperti sekarang.

Katanya adalah penting bagi memastikan Wilayah Persekutuan seperti di KL, seberapa boleh bersih dari kejadian jenayah dan dalam hal ini, badan seperti Rukun Tetangga boleh memainkan peranan membina.

Menurut Abdullah, warga Wilayah Persekutuan mesti ada perasaan sayang dan bangga kerana ia menjadi tempat mereka tinggal dan bekerja dan mereka perlu sentiasa memastikan kecantikan, kebersihan bangunan, penjagaan alam sekitar dan sungai yang ada di sini.

"Keindahan dan kebersihan juga perlu sentiasa dipertingkatkan. Bagi mereka yang melawat Wilayah Persekutuan, kita mahu mereka merasa keindahan kawasan ini (WP). Keindahan tidak hanya pada landskap tetapi juga pada bangunan-bangunan yang ada," katanya.

Ketika menjawab satu soalan, Abdullah berkata kerajaan tetap komited untuk memperbaiki dan membangunkan lagi sistem pengangkutan awam di Kuala Lumpur walaupun rancangan awal RM4 bilion yang diumumkan untuk tujuan itu tidak menjadi.

Menurutnya selepas RM4 bilion itu diumumkan, harga minyak terus naik ke paras yang begitu tinggi.

"Maka RM4 bilion yang diharap dapat diguna (untuk baiki pengangkutan awam di KL) tak dapat diguna kerana nak tampung subsidi (untuk minyak) dan minyak pula makin naik dan makin naik (ketika itu)," katanya.

Abdullah berkata dalam keadaan harga minyak turun seperti keadaan hari ini, ekonomi dunia pula menghadapi krisis besar sehinggakan penjimatan daripada subsidi minyak berikutan penurunan harga minyak terpaksa digunakan untuk tujuan merangsang ekonomi negara yang dapat dilihat melalui pakej rangsangan RM7 bilion baru-baru ini.

"Jadi terlepas jugalah keperluan untuk nak belanja bagi pengangkutan awam. Perbelanjaan untuk peralatan pengangkutan awam untuk Wilayah Persekutuan memerlukan peruntukan yang cukup banyak.

"Kita bantu setakat yang boleh. Tapi untuk bantu jalankan rancangan peringkat awal. Pada masa ini kita tiada duit, ada keperluan lain," kata Abdullah.

Abdullah berkata pengangkutan awam tidak terhad hanya kepada bas tetapi juga teksi yang menurutnya banyak di KL dan jika dijalankan dengan baik dengan perkhidmatan mesra, akan mengurangkan masalah pengangkutan awam. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain