suria

Anak saudara Presiden PAS maut, motosikal rempuh kereta polis

KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki maut setelah motosikal yang ditungganginya merempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda milik Polis Diraja Malaysia dalam satu kemalangan yang berlaku di Jalan Sultan Mahmud, Kuala Ibai, di sini pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.40 pagi itu, mangsa Abdul Qahar Mansor, 23, yang merupakan anak saudara kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dari Rusila, Marang meninggal dunia di tempat kejadian berikutan kecederaan serius di leher dan kepala.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal yang ditunggangi oleh mangsa merempuh Honda CRV dipandu oleh seorang anggota polis dari Bukit Aman yang ketika itu sedang keluar dari bahu kiri jalan arah Kuala Ibai menuju Kuala Terengganu.

"Mangsa yang bekerja sebagai buruh kilang batu bata dipercayai gagal mengawal motosikalnya lalu merempuh bahagian tepi sebelah kanan kenderaan pacuan empat roda itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan serius sebelum meninggal di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Berikutan kejadian itu, anggota polis berkenaan yang datang ke sini atas tugasan rasmi membawa seorang pegawai kanan polis membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain