suria

Ahli perniagaan Sri Lanka dibebaskan tipu Tan Sri

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan Sri Lanka hari ini dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini daripada tiga pertuduhan menipu seorang tokoh korporat pada 1998 melibatkan lebih RM661,730.

Hakim Rozana Ali Yusoff dalam penghakimannya berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Jayantha Bertam Marcelline Fernando, 53.

Mahkamah sebelum ini mengeluarkan waran tangkap sebanyak 10 kali kerana Jayantha gagal hadir di mahkamah menyebabkan perbicaraan tertangguh lebih 20 kali dalam tempoh lima tahun.

Pihak pendakwaan akhirnya menjejaki Jayantha di Australia dan dia dihadapkan ke mahkamah pada 2 Sept tahun lalu setelah satu perintah ekstradisi berjaya diperoleh dengan bantuan Interpol.

Pada tahun 1999, Jayantha dituduh menipu Datuk Mohan Swami (kini Tan Sri) bahawa dia boleh menguruskan kemudahan pinjaman sebanyak US$40 juta (RM135.68 juta) untuk Chase Perdana Berhad di pejabat Chase Perdana Bhd, Suite 7, Tingkat 24 Wisma Cycle Carri, Jalan Raja Laut di sini antara 25 Mac 1998 dan 24 April 1998.

Perbuatan itu telah mendorong Mohan menyerahkan RM57,000 kepada syarikat milik tertuduh, Simon & Spencer (M) Sdn Bhd, sebagai kos untuk memproses pinjaman itu.

Bagi pertuduhan kedua, Jayantha didakwa menipu Mohan bahawa dia boleh menguruskan kemudahan pinjaman sebanyak US$37 juta(RM125.5 juta) kepada Gold Falcon Inc, dan perbuatan itu telah mendorong mangsa menyerahkan RM49,200 bagi tujuan memproses pinjaman tersebut pada tempat yang sama antara 25 Mac 1998 dan 5 Ogos 1998.

Lelaki Sri Lanka itu turut didakwa menipu Mohan bahawa dia boleh mendapatkan pinjaman US$40 juta untuk Chase Perdana sehingga mendorong mangsa membuat pinjaman US$10 juta daripada Bayerische Landesbank cawangan Labuan, dan menyebabkan Mohan kerugian US$163,835.65 (RM555,730) dalam bentuk faedah dari pinjaman tersebut.

Hakim Rozana memerintahkan jaminan sebanyak RM30,000 dan pasport dikembalikan kepada Jayantha yang diwakili peguam Afifuddin Hafifi manakala Timbalan Pendakwa Raya Fatnin Yusof mewakili pihak pendakwaan.BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain