suria

CWC MIC temu pagi ini dijangka sentuh isu Muthu, pengkritik Samy

PETALING JAYA: Seminggu selepas dipecat dari parti, bekas Naib Presiden MIC, Datuk M. Muthuppalaniappan mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) supaya mengkaji semula hukuman tersebut.

CWC mengadakan mesyuarat bulanannya pagi ini.

Dalam pada itu, K. P. Samy, salah seorang pengkritik bersuara lantang terhadap Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu, yang dipecat dari parti tahun lepas, dijangka akan diterima semula ke dalam parti itu tidak lama lagi.

Ketika dihubungi malam tadi, bekas anggota CWC itu berkata, beliau akan menyertai MIC dan akan mengadakan sidang akhbar mengenai statusnya dalam masa sehari dua ini.

Bagaimanapun katanya, beliau menerima surat rasmi mengenai perkara tersebut.

Mesyuarat CWC dijangka memuktamadkan kes beliau dan kedudukan Muthuppalaniappan hari ini.

K.P. Samy, bekas pengerusi MIC cawangan Shahbandar, Shah Alam, dipecat dari MIC selepas menyokong secara terbuka demonstrasi Hindraf di ibu negara pada November 2007.

Bercakap kepada Bernama, beliau yang dikatakan penyokong setia bekas timbalan presiden Datuk S. Subramaniam, berkata beliau tidak pernah menentang kerajaan BN dan kini sedar bahawa BN memberi bantuan kepada kaum India tetapi bantuan itu tidak pernah sampai ke akar umbi.

"Sejak dipecat, saya menerima beberapa tawaran dari pelbagai parti termasuk pembangkang tetapi tidak menyertainya kerana saya masih yakin dengan MIC dan BN.

"Walaupun, saya berada dalam MIC sebelum ini, ada situasi di mana saya tidak setuju dan menyuarakan secara terbuka," katanya.

Dalam pada itu, Muthuppalaniappan berkata, beliau secara peribadi telah menghantar surat rayuan kepada ibu pejabat parti itu pagi tadi.

"Saya mengemukakan surat rayuan yang ringkas kepada CWC hari ini," kata beliau ketika dihubungi semalam.

Katanya, beliau menjelaskan beberapa sebab mengapa hukuman yang dikenakan ke atasnya wajar diketepikan.

"Dalam surat itu, saya mengatakan bahawa saya tidak diberikan peluang yang secukupnya untuk membela diri selain banyak bantahan yang dibangkitkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Disiplin juga ditolak," katanya.

Bekas Pengerusi MIC Negeri Sembilan itu, yang telah menyatakan hasrat untuk mencabar Datuk Seri S. Samy Vellu bagi jawatan Presiden tahun ini, telah dipecat dari parti minggu lalu.

Pada Isnin lalu, Samy Vellu mengatakan bahawa beliau tidak akan mempengerusikan mesyuarat CWC sekiranya ia dijadual mendengar rayuan Muthuppalaniappan.

Jawatankuasa Disiplin memberi tempoh 14 hari kepada beliau untuk membuat rayuan kepada CWC.

Artikel Lain