suria

Keputusan Nasarudin tidak jejas BN Perak - Tajol Rosli

IPOH: Keputusan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Bota, Datuk Nasarudin Hashim meninggalkan Umno dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak menjejaskan kedudukan Barisan Nasional (BN), kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali.

Katanya, keputusan Nasaruddin itu hanya membawa perubahan kepada jumlah kerusi di persidangan DUN.

Tajol Rosli, yang juga Pengerusi BN Perak, berkata BN di Perak masih kukuh dan berazam mahu merampas semula Perak daripada Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum akan datang.

"Kita ada tiga tahun lagi untuk berbuat demikian dan BN telah menggerakkan semua jentera terutamanya untuk meraih undi pengundi muda. BN mendapati kekurangan undi pada pilihan raya umum ke-12 adalah di saluran tiga dan empat... kita akan gerakkan jentera untuk mendapatkan sokongan pengundi muda daripada saluran tersebut," katanya ketika ditemui selepas menghadiri sambutan rumah terbuka Tahun Baru Cina Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ong Ka Chuan di Gunung Rapat di sini.

Tajol Rosli berkata demikian sebagai mengulas tindakan Nasarudin meninggalkan Umno dan menyertai PKR berkuatkuasa semalam.

Tajol Rosli berkata, sehingga kini beliau masih belum berjumpa Nasarudin dan tidak menjawab panggilannya.

Sementara itu, Ka Chuan berkata tindakan Nasarudin adalah tidak bermoral, tidak beretika dan bertentangan dengan dasar demokrasi.

Beliau berkata, Nasarudin memenangi kerusi DUN di kawasan itu atas tiket BN dan Umno sehingga masyarakat menyokongnya.

"Sebelum keluar daripada parti, beliau seharusnya meletakkan jawatan sebagai Adun agar pilihan raya kecil dapat diadakan dan memberikan peluang kepada masyarakat untuk memilih semula wakil rakyat mereka," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain