suria

Bekas calon BN jawab: "Apakah benar saya seorang elitis?"

KETUA Umno Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh melambai tangan kepada penyokong beliau selepas diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu.
KETUA Umno Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh melambai tangan kepada penyokong beliau selepas diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu.
KETUA Umno Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh melambai tangan kepada penyokong beliau selepas diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu.

PETALING JAYA: Selepas seminggu pilihan raya kecil Kuala Terengganu berakhir, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, calon Barisan Nasional (BN), sekali lagi menjawab pelbagai tuduhan yang dikenakan ke atas beliau bahawa "seorang sombong" dan "elitis" - antara faktor yang dikatakan membawa kepada kekalahan BN.

Kata beliau, "ramai orang meminta saya membuat ulasan tentang tuduhan yang mengatakan bahawa saya seorang yang elitis, tidak mesra rakyat dan sombong."

Bahkan, kata bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri itu, sepanjang tempoh berkempen selama 11 hari, beliau telah dihujani soalan yang sama saban hari oleh media sehingga berada dalam keadaan dilema untuk "membela diri."

DIDAKWA ELITIS

"Apakah benar saya seorang elitis?' kata beliau.

Penjelasan Wan Ahmad Farid bermula dengan tulisannya bahawa beliau dilahirkan di Kampung Tanjung Surau Pasir - di sebuah rumah kayu yang disewa ibu bapanya.

"Sehingga hari ini, rumah ini masih wujud.

"Yang jelas, saya tidak dilahirkan di mana-mana hospital. Saya tidak pernah bersekolah tadika - terus ke darjah satu ketika usia tujuh tahun," kata beliau dalam blog yang diaktifkan sempena pilihan raya kecil kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

Pengundian pilihan raya kecil ini berlangsung 17 Januari lalu.

Beliau tewas kepada calon PAS, Mohd. Abdul Wahid Endut.

Wan Ahmad Farid menambah, beliau ke sekolah dengan menaiki beca bersama-sama abang dan dua sepupunya.

"Ya, empat orang dalam satu beca. Hatta semasa ayah menjadi Pegawai Daerah Kemaman pun saya masih menaiki beca ke sekolah.

"Hanya apabila saya di Tingkatan Satu saya menaiki bas sekolah," katanya lagi.

Beliau yang turut berkongsi pengalamannya ketika ke London untuk meneruskan pengajian tinggi, menulis:

"Saya masih lagi ingat... kapal terbang pertama yang saya naiki ialah penerbangan ke London dengan British Airways pada 29 September 1980.

"Oleh sebab saya diterima lambat oleh MARA untuk membiayai pinjaman saya ke Britain dalam jurusan undang-undang, saya hanya terbang seorang diri.

"Tidak ada peers kerana mereka telah terbang terlebih awal. Tidaklah perlu saya sebutkan di sini bahawa saya terbang kelas ekonomi."

Wan Ahmad Farid yang turut melepaskan jawatan sebagai Senator untuk bertanding dalam pilihan raya kecil itu menambah, "apakah saya elitis sekarang?"

"Barangkali kita harus bertanya kepada Rajan yang menjadi tukang gunting rambut saya di Jalan Thambosamy.

"Kedainya lebih kurang 10 kaki kali 10 kaki. Mempunyai empat kerusi dan jarang benar penuhnya kerana sukar untuk menggunting rambut empat orang sekali gus dalam kesempitan ruang yang sebegitu.

"Rajan akan mengesahkan bahawa selama empat tahun saya mula tinggal di Kuala Lumpur semenjak dilantik sebagai Setiausaha Politik, di situlah tempat saya bergunting rambut.

"Dua kali sebulan. Hatta selepas saya menjadi Timbalan Menteri, saya tidak bertukar tempat saya bergunting rambut, walaupun saya tahu, pengawal peribadi saya merasa resah setiap kali saya ke situ," katanya lagi.

Malah, Wan Ahmad Farid berkata, "atau kita boleh bertanya Annuar - tuan punya warong kari kepala ikan di belakang TMC Bangsar."

"Apabila ada sidang di Parlimen, saya akan mencari kawan-kawan untuk makan di situ.

"Bukan restoran, bukan warung - tetapi hanya kerusi dan meja di bawah pokok. Yang pasti tidak ada kipas atau hawa dingin," jelas beliau.

"Atau tanya Razali tuan punya warung di Jalan Pulau Kambing, tempat saya menikmati sarapan apabila saya balik ke Kuala Terengganu pada hujung minggu," katanya.

TIDAK MESRA RAKYAT?

Wan Ahmad Farid juga bertanya: "Apakah saya tidak mesra rakyat?"

Bagi soalan ini, katanya, "sila tanya Yusof di belakang rumah saya di Jalan Ibrahim, Kuala Terengganu."

"Dia akan memberitahu kita bahawa tiap-tiap tahun saya akan mengumpul jiran saya yang tidak bernasib baik untuk membantu mereka menyambut hari raya... 70 hingga 80 orang dari warga emas kepada OKU akan dibantu.

"Saya tahu ada yang mengalirkan air mata semasa menerima bantuan itu... sebab saya sendiri yang memberikannya.

"Apabila mak meninggal, saya meminta isteri saya meneruskan tradisi membaca Yasin yang melibatkan orang-orang kampung termasuk yang mengunjungi Darul Fitrah - satu pertubuhan kebajikan di kampung saya.

"Sekali sekala, saya juga meminta dijemput rakan-rakan arwah mak untuk turut serta.

"Atau barangkali, balu kepada arwah pemandu saya boleh memberitahu bantuan bulanan yang saya sumbangkan kepadanya untuk menanggung anak-anak yatim.

"Saya juga pastikan bahawa anak-anak arwah ahli jawatankuasa saya yang meninggal dunia juga mendapat bantuan untuk menyambut Hari Raya tiap-tiap tahun," katanya.

MENINGGI DIRI

Wan Ahmad Farid juga bertanya apakah beliau seorang yang sentiasa meninggi diri. "Barangkali pengawal di Masjid Negara boleh juga memberitahu bahawa saya sentiasa membawa kereta sendiri untuk solat subuh dan sunat tarawikh kerana dia yang menunjuk tempat yang sesuai kepada saya untuk memarkir kereta saya.

"Atau kakitangan MAS, AirAsia dan Firefly juga boleh mengesahkan bahawa kadang-kadang walaupun semasa menjadi Timbalan Menteri, saya membuat daftar masuk sendiri," katanya lagi.

HUBUNGAN ALLAHYARHAM RAZALI

Katanya, ada orang mengatakan beliau tidak mempunyai hubungan yang baik dengan bekas Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Allahyarham Datuk Razali Ismail.

"Jarang yang tahu bahawa saya mengenali arwah semasa beliau menjadi Pengetua Maktab Perguruan Batu Rakit (sekarang Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Dato’ Razali Ismail) di mana saya diminta untuk memberikan syarahan undang-undang tentang keadaan di mana seorang guru boleh merotan murid.

"Mungkin guru-guru di Terengganu masih ingat dengan Program Generasi Prihatin. Tun Daim yang meminta saya menggerakkan program ini bersama-sama dengan rakan-rakan lain termasuk Datuk Azalina yang menjadi Ketua Puteri pada masa itu.

"Siapa yang membantu kami? Arwah Dato’ Razali, yang pada masa itu menjadi Pengarah Pelajaran Negeri. Semasa kami menjadi Timbalan Menteri, saya bersama-sama dengannya berusaha untuk mewujudkan kadet AADK di sekolah-sekolah menengah bagi melahirkan kaunselor muda yang akan menasihatkan rakan sebaya mereka tentang bahaya dadah," katanya.

Sambil menggariskan bahawa sahabat-sahabatnya rasa hairan mengapa baru sekarang memilih untuk menjawab tuduhan-tuduhan ini, Wan Ahmad Farid memberitahu:

"Jawapannya ialah kenapa perlu saya membela diri saya kepada pertuduhan yang tidak berasas?

"Kenapa perlu saya memuliakan sampah-sarap hanya kerana saya hendak membela diri saya?

"Keluarga saya tahu bahawa pertuduhan itu tidak betul. Jiran-jiran saya tahu. Dan yang paling penting, kalau di bumi tiada yang menghargai - tentunya di langit ada Yang Maha Mengetahui."

Memperlihatkan tidak putus asa, katanya, "saya mungkin tidak berjaya sekarang tetapi biarlah ia menjadi asas kepada gerakan kita di masa depan."

Artikel Lain