suria

Tindakan Nasaruddin tidak jejas Umno Perak

SITIAWAN: Tindakan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Datuk Nasaruddin Hashim melompat parti tidak melemahkan Umno Perak, sebaliknya memberi nafas baru bagi membina semula parti, kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali hari ini.

Mengibaratkan tindakan Nasaruddin umpama 'jaringan gol awal' permainan bola sepak yang baru bermula, beliau berkata tindakan itu tidak akan menjejaskan Umno.

"Umpama permainan bola sepak, kita kena satu gol tidak bermakna kita akan kalah kerana permainan baru sahaja bermula," katanya kepada pemberita pada majlis jamuan Tahun Baru Cina anjuran Pengerusi MCA Perak, Datuk Kong Cho Ha di Dewan SMJK Nan Hwa di sini hari ini.

Tajol Rosli berkata usaha bersungguh-sungguh gabungan Pakatan Rakyat (PR) memujuk wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di negeri ini keluar parti dan menyertai mereka adalah satu langkah terdesak untuk mengekalkan kuasa PR di Perak.

Beliau mendakwa kerajaan PR di Perak terpaksa mengambil langkah sedemikian sebagai persediaan awal menghadapi kemungkinan akan kehilangan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Februari ini.

"Kalau kita ingat, kes rasuah membabitkan dua anggota Exco daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan dibicara di mahkamah Februari ini. Oleh itu mereka (PR) mengambil tindakan untuk memancing Adun BN terlebih dahulu sekiranya keputusan tidak memihak mereka berlaku pada Februari nanti," katanya.

Pada Ogos lepas, Kapt (B) Mohd Osman Jailu yang juga Adun Changkat Jering dan Jamaluddin Mohd Radzi yang juga Adun Behrang dihadapkan ke mahkamah kerana didakwa terlibat rasuah berhubung projek pembangunan bernilai RM180 juta di Seri Iskandar.

Sementara itu, pada majlis jamuan Tahun Baru Cina anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Perak di Ipoh, Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini menafikan tindakan Nasaruddin keluar Umno dan menyertai PKR kerana telah ditawarkan jawatan tertentu atau wang sebagai habuan.

Di KOTA KINABALU, Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata tindakan Nasaruddin meninggalkan Umno untuk menyertai PKR mencemarkan proses demokrasi yang diamalkan di Malaysia.

"Rakyat telah memberi kepercayaan kepada seseorang berdiri di atas satu tiket (Umno), lepas itu dia lompat. Kepercayaan orang yang mengundi dia, bukan kerana diri dia sendiri, tetapi kerana kapasiti dia dalam parti yang diwakilinya yang menyebabkan dia menang (dalam pilihan raya)," katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Gabungan Persatuan-persatuan Cina Sabah Bersama Pemimpin di sini.

Shafie berkata wakil-wakil rakyat harus tegas dengan tindak-tanduk mereka di masa akan datang bagi memastikan perjuangan parti tidak dipersendakan dengan perbuatan seperti Adun Bota itu.

"Manusia bukan seperti barangan yang boleh dijual beli," katanya.

Mengenai pemilihan Umno Mac ini yang akan menyaksikan beliau bertanding merebut jawatan naib presiden, Shafie berkata beliau yakin perwakilan akan memilih pemimpin yang bukan sahaja dapat diterima oleh anggota parti, tetapi juga masyarakat Melayu dan kaum lain di luar Barisan Nasional.

"Sekiranya masyarakat lain boleh menerima kita, ini boleh membantu menguatkan parti kita, terutama dalam pilihan raya akan datang.

"Amat penting sekiranya masyarakat di luar parti menerima kita kerana merekalah yang menentukan kerajaan akan datang," katanya.

Pada majlis itu, Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan menyumbangkan RM50,000 kepada gabungan persatuan Cina itu bagi melaksanakan pelbagai aktiviti kebudayaan, terutamanya aktiviti yang melibatkan golongan muda. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain