RANTAU PANJANG: Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Kelantan mematahkan cubaan menyeludup pelbagai barangan bernilai kira-kira RM1 juta dari Thailand dalam beberapa operasi di sekitar Kelantan semalam.
Seramai enam lelaki berumur antara 30 dan 40 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan berhubung rampasan itu.
Pengarah KDRM Kelantan Aziz Yacob berkata rampasan paling besar membabitkan rokok bernilai RM700,000 termasuk cukai dalam operasi di Kampung Batu Hitam Tanah Merah pagi semalam.
Aziz berkata terdahulu pihaknya merampas beras siam sebanyak 400 kampit bernilai RM40,000 di dalam sebuah lori diikuti rampasan daging ayam beku sebanyak 5,880 kilogram yang dianggar bernilai RM35,280.
Satu lagi rampasan dibuat oleh bahagian penguatkuasa Rantau Panjang di sini membabitkan selipar bernilai RM22,470 dengan cukai sebanyak RM12,875, katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
"Serbuan yang dibuat di dalam zon bebas cukai itu turut merampas 160 kampit beras siam bernilai RM16,000 dan 400 kampit beras pulut bernilai RM40,000," katanya.BERNAMA


