suria

Kad kredit: Rakyat Malaysia ditahan di Thailand

BANGKOK: Seorang lelaki rakyat Malaysia yang dikehendaki di Amerika Syarikat (AS) kerana disyaki terlibat dengan penipuan kad kredit berjumlah sehingga US$150 juta, ditahan pihak berkuasa Thai dan ejen AS di Nonthaburi, di luar Bangkok pada Selasa.

Media tempatan melaporkan Gooi Kok Seng, atau turut dikenali sebagai Del Piero, 43, mempunyai waran tangkap yang dikeluarkan mahkamah AS kerana memiliki data akses peranti secara tidak sah, menggodam sistem komputer dan mencuri data.

Polis bahagian membanteras jenayah Supisal Pakdinaruenar berkata Gooi merupakan anggota sebuah kumpulan penipuan kad kredit yang beroperasi di AS sejak tiga tahun lepas dan dipercayai melarikan diri ke Thailand untuk mengelak daripada ditangkap.

Dia ditahan di sebuah rumah di daerah Pak Kret, iaitu tempat beliau tinggal bersama isterinya, seorang rakyat Thai.

Kumpulan itu dipercayai mencuri data transaksi kad kredit daripada orang ramai yang berbelanja di restoran-restoran utama dan premis perniagaan seperti TJX, WalMart dan Office Depot dan menjual maklumat itu kepada kumpulan lain untuk membuat kad palsu.

Supisai berkata rakyat Malaysia itu menafikan semua tudahan dan kini menghadapi ekstradisi ke AS. BERNAMA

Artikel Lain