suria

Abhisit: Thailand telah capai kestabilan politik dalaman

BANGKOK: Perdana Menteri Thai Abhisit Vejjajiva hari ini memberi jaminan kepada kerajaan asing bahawa Thailand, yang menyaksikan tunjuk perasaan jalanan besar-besaran dan krisis politik tahun lepas, telah mencapai kestabilan politik dalaman sejak pelantikannya ke jawatan itu Disember lepas.

Beliau berkata keputusan pilihan raya kecil bagi 29 kerusi parlimen dan saingan untuk jawatan Gabenor Bangkok Ahad lepas seterusnya telah mengekalkan momentum ini, dan beliau berikrar bahawa kerajaannya akan melakukan yang terbaik bagi memastikan kestabilan itu bertambah kukuh dalam harihari dan bulanbulan mendatang.

"Saya yakin ramai daripada anda yang mengikuti perkembangan terkini dalam arena politik di Thailand dengan penuh minat. Tahun-tahun terdahulu sememangnya bukanlah tahun yang mudah untuk negara saya memandangkan kami terpaksa melalui 'saat susah dan senang' dan ada ketikanya, keadaan yang sangat sukar," katanya kepada pertubuhan antarabangsa dan kor diplomatik yang berpusat di Bangkok.

Bercakap di Rumah Kerajaan yang dikepung oleh penunjuk perasaan anti kerajaan dan ditawan selama tiga bulan ketika Samak Sundaravej menjadi Perdana Menteri, diikuti penggantinya Somchai Wongsawat, Abhisit berkata negaranya kini bergerak ke arah tempoh peralihan demokrasi yang lebih membawa harapan.

"Peralihan ini akan memastikan keharmonian dalam masyarakat kita, kepuasan dalam kalangan penduduk kita, dan keyakinan di antara rakanrakan kita," kata Abhisit, pemimpin Demokrat yang menjadi Perdana Menteri ke-27 Thailand selepas Somchai dilarang daripada aktif berpolitik selama lima tahun dan Parti Kuasa Rakyat (PPP) pimpinannya dibubarkan oleh mahkamah kerana melakukan penipuan dalam pilihan raya.

Abhisit berkata kerajaan gabungannya ditubuhkan menerusi proses demokrasi berparlimen dan komited untuk menggalakkan perdamaian serta keharmonian dalam masyarakat Thai.

Mengenai ekonomi, beiau berkata asas ekonomi Thailand terus kukuh dan kerajaan menjadikan penyuburan semula ekonomi serta pemulihan semula keyakinan dalam sektor perniagaan sebagai tumpuan utama.

Beliau berkata kerajaannya melancarkan pakej rangsangan 116 bilion baht barubaru ini untuk melaksanakan langkah jangka pendek dan panjang yang turut merangkumi subsidi kos bagi perkhidmatan asas, projek latihan pekerjaan dan pembangunan komuniti, insentif cukai dan bantuan kewangan bagi pekerja serta syarikat.

Di arena antarabangsa, Abhisit, yang bercadang menghadiri Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland hujung bulan ini, berkata Thailand akan menganjurkan Sidang Kemuncak Asean kali ke14 di Hua Hin mulai 27 Feb, selepas ditangguhkan sejak Disember lepas apabila venue yang pada mulanya dicadang di Bangkok, kemudian ditukar ke Chiang Mai.

"Kami bersedia menganjurkan Sidang Kemuncak ini dan melaksanakan tanggungjawab kami sebagai Pengerusi Asean sepanjang tahun ini sambil forum ini bergerak ke arah melaksanakan Piagam Asean," katanya.

Sidang Kemuncak Asean ditangguhkan selepas penunjuk perasaan menutup dua lapangan terbang utama di Bangkok pada November lepas. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain