suria

Tujuh anggota polis mengaku tidak bersalah

KUALA LUMPUR: Tujuh anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap dua pertuduhan mencederakan dua pemuda dalam kejadian berasingan di IPD berkenaan pada akhir tahun lalu.

Sjn Mohd Shafiee Abdul Halim, Sjn Mohd Diah Sulaiman, Sjn Zulkiplly Taib, Kpl Abdullah Musa, Kpl Zamrin Zaid, L/Kpl Matila @ Saudi Ismail dan L/Kpl Nizam Abdul Wahab daripada Bahagian Siasatan Jenayah didakwa dengan sengaja mencederakan B. Prabakar, 28, di pejabat detektif, IPD itu dengan tujuan mendapatkan pengakuan daripadanya melakukan satu kesalahan menakutkan secara jenayah mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di antara pukul 10.15 malam 23 Dis hingga 3.30 pagi 24 Dis tahun lalu.

Untuk pertuduhan kedua, kesemua anggota polis berkenaan di tempat dan masa yang sama didakwa melakukan kesalahan serupa terhadap C. Solomon Raj, 18.

Mereka menghadapi kedua-dua pertuduhan berkenaan Seksyen 330 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan pendakwa Raya Yaacub Chik menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 untuk setiap tertuduh, yang berumur di antara 35 hingga 45 tahun, bagi kedua-dua pertuduhan.

Bagaimanapun, peguam Muhammad Naguib Abdul Malik yang mewakili kesemua tertuduh itu berkata kesemua mereka sudah berkhidmat bersama pasukan polis di antara 15 hingga 25 tahun.

"Kesemua mereka ada keluarga untuk ditanggung dan saya mohon agar mahkamah memberi jaminan paling minimum dan berjanji mereka akan mematuhi segala prosiding di mahkamah nanti," kata Muhammad Naguib.

Hakim Zainal Abdil Kamarudin menetapkan RM5,000 jaminan untuk setiap tertuduh dan menetapkan 17 Feb untuk sebutan kes.

Zainal juga melarang kesemua tertuduh daripada meninggalkan ibu kota tanpa kebenaran mahkamah dan diingatkan tidak menganggu saksi-saksi dan pengadu sebagai syarat tambahan.

Kejadian mencederakan keduadua pemuda berkenaan, yang mendapat liputan media menyebabkan ibu pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menubuhkan pasukan khas untuk menyiasat dakwaan tersebut dan susulan daripada itu, tujuh anngota polis berkenaan ditahan malam tadi sebelum dihadapkan ke mahkamah hari ini. Kesemua tertuduh membayar jaminan. BERNAMA

Artikel Lain