suria

Hadiah RM1 juta untuk tokoh Maal Hijrah

KUALA TERENGGANU: Tokoh Maal Hijrah untuk tahun ini berpeluang memperoleh hadiah bernilai RM1 juta, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya ia bertujuan untuk mengangkat martabat agama Islam selain memberikan penghargaan kepada pemenang.

"Walaupun hadiah bukanlah satu keutamaan, tetapi ia untuk menghargai ulama yang kalau dibandingkan, sumbangannya lebih besar berbanding penyanyi. Kalau tahun lepas kita berikan RM100,000 kepada mereka yang dinobatkan sebagai tokoh Maal Hijrah, tahun ini sekiranya kita mempunyai penaja, Insya-Allah kita mungkin akan berikan mereka RM1 juta.

"Kalau penyanyi atau ahli sukan boleh mendapat tajaan daripada syarikat-syarikat, kenapa tidak boleh ia diberikan kepada ulama. Syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) umpamanya juga boleh jadi penaja," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) Terengganu di sini Isnin.

MAIM yang merupakan gabungan badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang dianggotai 22 buah NGO Islam dari seluruh negeri ini, ditubuhkan pada Jun lepas bertujuan untuk pembangunan masyarakat Islam khususnya.

Pelancaran MAIM peringkat kebangsaan akan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 13 Jan ini di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata perarakan sambutan Maulidur Rasul pada 9 Mac di Kuala Lumpur akan disertai kira-kira 100,000 orang.

"Perarakan akan melalui jalan-jalan utama sekitar Kuala Lumpur dan perkara itu telah saya sembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid juga menasihati masyarakat Islam di negara ini supaya bersatu padu dan mengambil iktibar daripada nasib yang menimpa penduduk Palestin di Gaza.

Katanya sekiranya bersatu, masyarakat Islam di negara ini tidak akan mudah diperkotak-katikkan oleh musuh.

"Saya nak ingatkan diri saya dan masyarakat Islam supaya kita lebih bersatu padu. Kita akan lemah sekiranya tidak bersatu padu dan itu yang terjadi di Palestin," katanya.

Ahmad Zahid meminta setiap NGO yang bergabung di bawah MAIM supaya mengetepikan fahaman politik.

"Sememangnya umat Islam di sana (Palestin) ramai, tetapi mereka tidak bersatu padu dan hidup dalam keadaan berpuak-puak. Inilah punca yang menjadikan mereka tidak kuat dan mudah diperkotak-katik. Kita tak mahu jadi begitu," katanya. BERNAMA

Artikel Lain