suria

Banjir di Pahang dan Kelantan makin serius

PRIHATIN... Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (tengah) berkenan melawat mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Banjir di Sekolah Kebangsaan Fakeh Abd Samad. -fotoBERNAMA
PRIHATIN... Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (tengah) berkenan melawat mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Banjir di Sekolah Kebangsaan Fakeh Abd Samad. -fotoBERNAMA
PRIHATIN... Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (tengah) berkenan melawat mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Banjir di Sekolah Kebangsaan Fakeh Abd Samad. -fotoBERNAMA

[DIKEMAS KINI] KUANTAN: Keadaan banjir di Pahang dan Kelantan semakin serius dengan jumlah mangsa banjir yang dipindahkan meningkat dan beberapa jalan utama ditutup untuk semua jenis kenderaan.

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 2,921 orang pada petang ini berbanding 2,514 orang pagi tadi.

Menurut jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, sehingga 5 petang ini, daerah Kuantan terus mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu seramai 1,753 orang diikuti Pekan seramai 1,022 orang.

Daerah Kuala Lipis merupakan daerah terbaru dilanda banjir hari ini membabitkan 11 orang di Kampung Kuala Medang dipindahkan ke dewan orang ramai kampung itu, katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Daerah lain yang terbabit ialah Cameron Highlands (35 orang di pusat pemindahan), Maran (93 orang) dan Raub (7).

Katanya, laluan di KM8 hingga KM12 Jalan Sungai Lembing-Kuantan; Jalan Tanjung Lumpur-Pekan dekat Taman Kempadang Jaya; KM36 Jalan Gambang-Maran; KM 28 Jalan Kampung Caru, di Jambatan Sungai Caru di Kuantan dan Jalan Serengkam-Kampung Bak Bak, Maran masih ditutup untuk semua jenis kenderaan.

Di KELANTAN, banjir menyebabkan 33 buah sekolah membabitkan 33,000 pelajar di enam jajahan tidak dapat memulakan sesi persekolahan tahun ini yang bermula hari ini.

Pengarah Pelajaran Kelantan, Mohd Ghazali Abdul Rahman ketika dihubungi berkata sekolah yang tidak boleh beroperasi akibat banjir akan diberikan cuti ganti atas permohonan guru besar dan pengetua sehingga keadaan banjir pulih.

Malahan air mulai naik di sekitar bandar Kota Baharu sejak 2 petang dengan beberapa jalan utama ditutup untuk semua lalu lintas dengan 623 orang dipindahkan ke pusat pemindahan banjir.

Jurucakap bilik gerakan banjir negeri berkata beberapa jalan di Kota Baharu turut ditutup kepada lalulintas iaitu Jalan Kota Baharu-Pantai Cahaya Bulan (PCB) kerana jalan di Kampung Tingkat dinaiki air sedalam 0.3 meter, jalan Kampung Banggol (0.3 meter), Jalan Pulau Kundor (0.4 meter), Jalan Kedai Buluh Lama (0.4 meter) dan Jalan Ken Seng (0.5 meter.)

Katanya di Tanah Merah, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ialah 92 orang, Pasir Mas di Rantau Panjang (331 orang), Machang (111 orang) dan Pasir Puteh (49 orang).

Setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan akibat banjir.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Kelantan, Mohd Noor Chik berkata sebanyak RM100,000 disediakan untuk bekalan makanan harian di pusat-pusat pemindahan sementara.

Katanya JKM negeri memperuntukkan RM500,000 setiap tahun bagi membantu mangsa banjir di seluruh negeri ini.

Jurucakap Jabatan Pengairan dan Saliran Kelantan pula berkata bacaan paras air di Sungai Kelantan di Kuala Krai, Sungai Kelantan di Kusial, Sungai Kelantan di Jeti Kastam dan Sungai Golok di Rantau Panjang adalah melebihi paras bahaya.

Sementara paras air di Sungai Galas di Dabong, Sungai Lebir di Tualang dan Sungai Golok di Jenob adalah pada paras berjaga-jaga dan Sungai Semerak di Pasir Puteh berada di paras biasa.

DI TERENGGANU, keadaan banjir di daerah Setiu beransur pulih manakala di Kemaman tidak berubah dengan jumlah keseluruhan mangsa yang berada di pusat pemindahan menurun kepada 349 orang petang ini berbanding 471 pagi tadi.

Jurucakap Bilik Gerakan Majlis Keselamatan Negeri berkata sehingga pukul 6 petang, seramai 128 daripada 223 mangsa di Setiu telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing dengan dua daripada pusat pemindahan ditutup.

Katanya sementara di Kemaman jumlah mangsa banjir meningkat kepada 308 orang berbanding 248 orang pada sebelah pagi.

Jalan Air Putih-Cukai di Kemaman ditutup kepada semua kenderaan.

Jurucakap itu berkata bacaan paras air sungai Setiu dan sungai Nerus iaitu di Jambatan Permaisuri dan Kampung Bukit melebihi paras bahaya manakala Sungai Kemaman di jambatan Air Putih melebihi paras amaran. BERNAMA

Artikel Lain