suria

Bukan pro-Manika demonstrasi tanda India PKR padu, sokong Anwar

SOKONG ANWAR... Kumpulan bukan 'pro-Manika' dalam PKR berdemonstrasi bagi menunjukkan perpaduan ahli-ahli masyarakat India dalam parti itu kekal mantap.
SOKONG ANWAR... Kumpulan bukan 'pro-Manika' dalam PKR berdemonstrasi bagi menunjukkan perpaduan ahli-ahli masyarakat India dalam parti itu kekal mantap.
SOKONG ANWAR... Kumpulan bukan 'pro-Manika' dalam PKR berdemonstrasi bagi menunjukkan perpaduan ahli-ahli masyarakat India dalam parti itu kekal mantap.

[DIKEMAS KINI] PETALING JAYA: Kumpulan bukan 'pro-Manika' dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula mengadakan demonstrasi petang ini bagi menunjukkan perpaduan ahli-ahli masyarakat India dalam parti itu mantap sambil menyatakan sokongan kepada Penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kira-kira 150 orang hadir dalam perhimpunan itu yang dianjurkan oleh penyokong kalangan masyarakat India dalam PKR dan ahli-ahli Makkal Sakti.

Kumpulan itu berkumpul di hadapan ibu pejabat PKR bermula pukul 3 petang bagi menunjukkan bahawa tiada sebarang perpecahan atau perasaan tidak puas hati di kalangan kaum India dalam PKR seperti mana yang di bangkitkan oleh Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam dan penyokongnnya baru-baru ini.

Ia dianjurkan selepas tiga hari Manikavasagam meletakkan jawatan sebagai Timbalan Pengerusi PKR Selangor.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Salehuddin Hashim yang menyambut kehadiran kumpulan berkenaan berkata, perhimpunan aman tersebut menunjukkan bahawa parti itu masih lagi bersatu tanpa wujudnya masalah hingga menyebabkan keretakan dalaman seperti yang dilaporkan oleh sesetengah media.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan Manikavasagam, ahli Majlis Pimpinan Tertinggi supaya sentiasa berfikir secara rasional dalam memperjuangkan hak kepentingan rakyat.

"Saya tak marah Manika, beliau nak perjuangkan rakyat tak ada masalah.

"Tapi ingat fikir dengan cara yang baik dan jangan meludah ke muka sendiri," katanya dalam ucapan ringkas di hadapan penyokong-penyokong PKR itu.

Tambahnya Salehuddin, beliau menyokong penuh jika Manikavasagam ingin membantu membela nasib kaum India, namun turut mengingatkan supaya Ahli Parlimen itu tidak tersasar matlamatnya.

Sebelum itu, pemimpin PKR dari Kedah, Kalai Vanar yang mengetuai perhimpuan berkenaan berkata, kehadiran mereka pada hari ini ialah bagi membuktikan bahawa penyokong kaum India dalam PKR masih kekal setia bersama parti itu.

Katanya, isu kononnya sudah mula wujud keretakan dalam PKR kerana adanya diskriminasi kaum terutamanya melibatkan kaum Inda adalah mainan politik sesetengah pihak yang cuba melemahkan semangat perjuangan mereka.

Perhimpuan berkenaan turut dihadiri oleh Timbalan Presiden PKR, Dr. Syed Husin Ali; salah seorang Naib Presiden PKR, R. Sivarasa, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Andalas dan Dr. Xavier Jayakumar.

Turut serta ialah pengendali blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin.

Dalam pada itu, Manikavasagam ketika dihubungi mStar Online mahu Syed Husin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Disiplin memastikan semua pihak dalam PKR mematuhi peraturan larangan mengeluarkan kenyataan berhubung pendirian beliau dikeluarkan baru-baru.

Sambil merujuk kepada laporan sebuah akhbar hari ini, wakil rakyat itu berkata, kenyataan yang memetik sumber mendakwanya hanya mahu berlagak sebagai hero masyarakat India menunjukkan arahan Timbalan Presiden juga tidak dipatuhi.

"Kenyataan ini, yang tidak dinyatakan nama, menunjukkan Syed Husin tidak dapat mengawal pemimpin-pemimpin dalam PKR.

"Beliau meminta pemimpin PKR tidak keluarkan kenyataan, saya mematuhi tetapi ada yang masih mengeluarkan kenyataan mengkritik saya," katanya.

Artikel Lain