suria

30,000 pelajar di Kelantan terjejas hari pertama persekolahan

KOTA BAHARU: Sesi pertama persekolahan di Kelantan hari ini menyaksikan kira-kira 30,000 pelajar sekolah rendah dan menengah di enam daerah terjejas dan tidak dapat hadir ke sekolah berikutan kawasan sekolah masing-masing dinaiki air.

Pengarah Pelajaran Kelantan, Mohd Ghazali Ab. Rahman berkata para pelajar berkenaan adalah dari 33 buah sekolah rendah dan lima sekolah menengah di daerah Pasir Mas, Rantau Panjang, Tumpat, Kuala Krai, Kota Baharu dan Tanah Merah.

"Hujan yang melanda sejak beberapa hari lalu telah menyebabkan kawasan sekolah di enam daerah berkenaan dinaiki air dan tidak dapat beroperasi seperti biasa.

"Justeru, pihak Jabatan Pelajaran Kelantan (JPN) mengarahkan sekolah-sekolah terbabit menutup sekolah masing-masing bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata kesemua Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) di 10 daerah seluruh negeri telah bermesyuarat pagi tadi selepas kebanyakan sekolah mula dinaiki air bermula seawal 4 pagi tadi.

"Pembukaan semula sekolah-sekolah terbabit bergantung kepada keputusan hasil mesyuarat PPD masing-masing yang akan dibuat selepas air surut," katanya.

Mohd Ghazali berkata daripada enam daerah itu, daerah Pasir Mas dan Rantau Panjang paling teruk terjejas berikutan ia melibatkan 14 buah sekolah.

"Daerah Kota Baharu juga terjejas menyebabkan lapan sekolah ditutup serta merta.

"Di Tanah Merah dan Tumpat masing-masing enam buah sekolah ditutup, di Kuala Krai empat buah sekolah ditutup," katanya.

Beliau berkata kira-kira 400,000 murid dan pelajar sepatutnya memulakan sesi persekolah hari ini, membabitkan 415 sekolah rendah dan 155 sekolah menengah. BERNAMA

Artikel Lain