suria

Syed Alwi meninggal dunia kerana jatuh, bukan disamun

JENAZAH Allahyarham Syed Alwi disembahyangkan di Masjid At-Taqwa di Taman Tun Dr. Ismail. -foto mStar oleh Siti Azira
JENAZAH Allahyarham Syed Alwi disembahyangkan di Masjid At-Taqwa di Taman Tun Dr. Ismail. -foto mStar oleh Siti Azira
JENAZAH Allahyarham Syed Alwi disembahyangkan di Masjid At-Taqwa di Taman Tun Dr. Ismail. -foto mStar oleh Siti Azira

[DIKEMAS KINI] PETALING JAYA: Polis dan anggota keluarga menolak punca kematian Tokoh Seniman Negara, Datuk Syed Alwi Syed Hassan, yang ditemui mati di kediamannya di Kampung Sungai Serai, Rawang dekat sini malam tadi, adalah disebabkan samun dan serangan.

Allahyarham Syed Alwi, 78, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara pukul 2 petang.

Terdahulu pukul 1.30 tengah hari tadi, jenazah Syed Alwi disembahyangkan di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr. Ismail.

Kira-kira 150 orang hadir memberi penghormatan terakhir kepada keluarga Allahyarham.

Antara artis yang hadir ialah Sabri Yunos, Rozita Rohaizad, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Datuk Rahim Razali, Zulhaila Siregar dan Ellie Suriati.

Sementara itu, anak Allahyarham, Norsham Syed Alwi ketika dihubungi mStar Online berkata, arwah ayahnya meninggal dunia disebabkan penyakit vertigo.

Dia juga mengesahkan tokoh seniman negara itu, terhantuk sebelum terjatuh di rumahnya kelmarin.

Norsham juga menafikan Syed Alwi disamun.

Pihak polis juga menolak elemen perbuatan khianat kerana bedah siasat menunjukkan kesan lebam kemungkinan disebabkan jatuh.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Selangor, SAC II Hasnan Hassan berkata, Allahyarham Syed Alwi meninggal dunia kerana jatuh dan mengalami kecederaan di bahagian kepala.

"Kesan lebam dan calar di tubuh mangsa adalah disebabkan gigitan serangga," katanya.

Kata beliau, pihaknya sedang membuat pemeriksaan dan siasatan susulan memandangkan terdapat banyak ubat di rumahnya.

"Badan mangsa tiada kesan diserang pihak tertentu," katanya lagi.

Dalam pada itu, pelakon Datuk Ahmad Tarmimi Siregar berkata, arwah merupakan salah seorang yang mendidiknya selepas Datuk Rahim Razali melibatkan diri Tarmimi dalam dunia pementasan.

"Melalui arwah, saya banyak berlakon teater seperti Alang Retak Seribu, Tok Perak dan banyak lagi.

"Beliau bukan sahaja seorang guru malah rakan sekerja yang unik, suka berterus terang.

"Apa yang saya perasan, perangai beliau sama seperti saya iaitu suka 'cakap lepas' dan tidak hipokrit," ujar Tarmimi yang kali terakhir berjumpa dengan arwah ketika sebulan lalu di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Tambah Tarmimi, arwah seolah-olah yang beliau akan pergi tidak lama lagi apabila menyerahkan skrip Tok Perak yang sudah dicetak kepada Dewan Bahasa dan Pustaka baru-baru ini.

"Beliau ada meminta saya berlakon dalam Tok Perak yang bakal dipentaskan pada hujung tahun ini atau awal tahun depan.

"Jadi, saya agak terkejut dengan pemergiannya. Beliau tak sakit tetapi pernah dimasukkan ke hospital sekejap," kata Tarmimi yang mengetahui berita kematian menerusi SMS Norsham semalam.

Tarmimi masih meluangkan waktu melawati jenazah Syed Alwi walaupun sedang menjalani pengambaran telefilem Tak Sama Tapi Tak Serupa untuk TV3 hari ini.

BERITA TERDAHULU

Tokoh Seniman Syed Alwi ditemui mati, kesan calar

SUNGAI BULOH: Tokoh Seniman Negara, Datuk Syed Alwi Syed Hassan ditemui mati di kediamannya di Kampung Sungai Serai, Kuang, Rawang dekat sini, kira-kira pukul 8.30 malam tadi.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Selangor, SAC II Hasnan Hassan berkata, mayat mangsa yang berusia 78 tahun itu dijumpai di bahagian dapur rumah banglo berkenaan oleh anaknya, Norsham, 27, yang baru pulang ke rumah.

"Mangsa dipercayai sudah meninggal dunia lebih kurang 48 jam," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Hasnan berkata, siasatan awal mendapati ada kesan calar dan lebam di badan mangsa, yang tinggal seorang diri sejak Jumaat.

Katanya tiada kesan pecah masuk di banglo milik Allahyarham tetapi terdapat sebuah meja yang terbalik dengan banyak ubatubatan di sekitarnya.

Bagaimanapun, polis tidak menolak kemungkinan mangsa dibunuh dalam satu kejadian samun selain kemungkinan beliau jatuh lalu meninggal dunia.

"Perlakuan jenayah (dalam kes ini) akan disiasat," katanya.

Mayat Syed Alwi dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.

Syed Alwi, anak kelahiran Taiping, Perak mendapat pendidikan asas di Sekolah Melayu Pondok Tanjung dan Sekolah Taiping.

Beliau melanjutkan pelajaran ke University of Minnessota, Amerika Syarikat dalam bidang teater dan kewartawanan serta merupakan anak Melayu pertama yang melanjutkan pelajaran ke luar negara dalam bidang berkenaan.

Syed Alwi pernah menerima Hadiah Pelajaran Tabung John D. Rockefeller III untuk mengkaji perkembangan teater dan filem semasa di Amerika antara April dan Jun 1980.

Beliau adalah antara penggiat teater yang melalui dua zaman iaitu zaman penjajahan serta zaman kemerdekaan dan banyak menghasilkan karya yang mantap dan mempunyai impak khususnya dalam memperkatakan isuisu berhubung bangsa Melayu.

Syed Alwi dianggap sebagai tokoh terkemuka yang mengangkat martabat teater tanah air daripada corak purbawara dan bangsawan kepada corak yang lebih bersifat kontemporari.

Antara karyanya yang memenangi pelbagai hadiah ialah drama Alang Retak Seribu (1973), Tok Perak (1974) serta dua drama berbahasa Inggeris "I Remember The Rest House" (1992) dan "Member of The Club" (1994).

Syed Alwi adalah pengasas Kumpulan Teater Seni Malaya (Malayan Art Theater Group) pada tahun 1951, yang kemudian bertukar menjadi Malaysian Art Theater Group.

Beliau pernah mengarah dan berlakon dalam beberapa pementasan teater terkenal antaranya Midsummer Nights (Starveling), Androcles and the Lion (Slave) dan Henry V (Duke of Bedford) sehingga 1953.

Syed Alwi pernah bertugas dengan RTM, TV3 dan NTV7 sebagai pengurus, penerbit, pelakon, penulis dan pengarah selain pernah bertugas dengan Filem Negara, Panggung Negara, Akademi Seni Kebangsaan, Universiti Malaya dan Pejabat Penerangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Beliau diisytiharkan sebagai penerima Anugerah Seni Negara pada 19 September 2002, iaitu satu penghargaan dan pengiktirafan tertinggi kerajaan kepada penggiat seni negara. BERNAMA

Artikel Sebelum

Wanita BN mula mesyuarat enam jam

Artikel Lain