suria

Chow Kit akan diberi 'nafas baru,' kembalikan tumpuan pelancongan

KUALA LUMPUR: Chow Kit dan kawasan sekitarnya akan diberi "nafas baru" dalam usaha mengembalikan kawasan itu sebagai pusat tumpuan orang ramai, tempat membelibelah dan juga destinasi pelancongan, kata Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Zulhasnan Rafique.

Katanya bagi merealisasi hasrat itu, kementerian itu telah melaksanakan Program Gerakan Tumpuan (PGT) di kawasan berkenaan dengan menjalankan pelbagai aktiviti yang boleh menjurus kepada kemasyhuran jenamanya.

"Chow Kit masyhur dengan pasar dan gerai-gerai yang menjadi tumpuan pelancong dan orang ramai.

"Adalah menjadi hasrat kerajaan dan agensi di bawahnya mengembalikan kemasyhuran itu agar ia dan warganya tidak tercicir daripada arus pembangunan dan pembaharuan yang sedang dilaksanakan kerajaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan PGT Kawasan Chow Kit di sini, hari ini.

Beliau berkata dalam memberi dimensi baru kepada kawasan berkenaan, tindakan penguatkuasaan bagi membendung Chow Kit daripada unsur jenayah, penagihan dadah, penjajaan tidak berlesen, pendatang asing tanpa izin, pengemis serta kutu rayau harus ditingkatkan.

Demi mengembalikan zaman kegemilangan Chow Kit sebagai destinasi beli-belah yang menjadi pilihan ramai, Zulhasnan turut mahu beberapa aspek seperti kebersihan kawasan, keselamatan dan penjajaan yang teratur dititikberatkan.

Ketika mengulas mengenai kegiatan pelacuran yang begitu menular di Chow Kit, Zulhasnan menegaskan operasi dan tindakan akan sentiasa dilakukan bagi membendung kegiatan tersebut.

PGT merupakan satu projek utama Kementerian Wilayah Persekutuan yang menjurus ke arah pembangunan modal insan di Wilayah Persekutuan.

Ia telah dilaksanakan di Kawasan Perumahan Awam di Jalan San Peng, Taman Sri Sentosa, Jalan Klang Lama, Kampung Kerinchi, Pantai Dalam dan PPR Semarak, dalam kawasan Parlimen Setiawangsa. BERNAMA

Artikel Sebelum

Wukuf di Arafah, 7 Disember

Artikel Berikut

Artikel Lain