suria

AADK: Jumlah penagih dadah di kalangan anak-anak nelayan Kelantan meningkat

AADK KESAN PENINGKATAN JUMLAH PENAGIH DADAH DI KALANGAN ANAKANAK NELAYAN DI KELANTAN KOTA BAHARU: Kajian yang dilaksanakan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kelantan mendapati terdapat peningkatan mendadak penagihan dadah di kalangan anak-anak nelayan di negeri itu.

Timbalan Pengarah AADK negeri Yang Ag Kechik berkata bancian yang dilakukan pihaknya mendapati peningkatan mendadak itu amat membimbangkan dan ia berlaku sejak dua tahun lalu.

"Antara perkampungan nelayan di Kelantan yang dikategorikan sebagai 'kawasan hitam' adalah Kampung Pulau Kundur kerana anggaran berdasarkan bancian mendapati terdapat hampir 200 orang anak-anak muda yang terlibat dengan penagihan dadah di kawasan itu dan kesemuanya adalah anak nelayan.

"Bagaimanapun sehingga ini hanya 57 orang yang berdaftar dengan AADK yang berada di bawah pemantauan pihak kami," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Gerak Gempur Dadah (Gempadah) di Sekolah Kebangsaan Pulau Kundur, dekat sini hari ini.

Beliau berkata antara faktor yang membawa kepada peningkatan penagihan dadah dalam kalangan anak nelayan itu adalah ekoran masalah kewangan keluarga yang turut memberi kesan sampingan kepada anak-anak akibat kehidupan yang tidak teratur.

"Kebanyakan penagih ini adalah golongan remaja dan belia yang tidak berpelajaran kerana ketidakmampuan keluarga. Perkara ini sangat membimbangkan kerana ibu bapa dari golongan itu sendiri terpaksa menanggung pelbagai kesusahan terutama kewangan dan ekonomi keluarga selain masalah daripada anak yang terlibat dengan penagihan dadah," katanya.

Yang berkata AADK sentiasa melakukan pemantauan berterusan terutama di perkampungan nelayan di kawasan luar bandar dengan mengadakan pelbagai aktiviti ceramah dan pameran anti dadah termasuk mengadakan lawatan ke rumah penduduk kampung bagi mengenal pasti belia yang terlibat dengan penagihan dadah. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain