AirAsia catat kerugian operasi RM75.933 juta dalam suku ketiga - Semasa | mStar

AirAsia catat kerugian operasi RM75.933 juta dalam suku ketiga

KUALA LUMPUR: AirAsia Bhd mencatatkan kerugian operasi RM75.933 juta dalam suku ketiga berakhir 30 Sept, 2008 daripada keuntungan operasi RM47.763 juta dalam tempoh yang sama tahun kepas.

Kerugian itu adalah lebih rendah dari yang dijangkakan meski pun persekitaran operasi yang amat sukar, termasuklah harga bahan api yang tinggi, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Tony Fernandes dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Syarikat penerbangan kos rendah itu bagaimana pun mencatatkan perolehan sebanyak RM658.473 juta daripada RM461.585 juta sebelumnya.

"Daya tahan dan kekukuhan AirAsia menghasilkan pertumbuhan perolehan 43 peratus dipacu oleh permintaan penumpang yang kukuh dan pendapatan sampingan," katanya.

Bilangan penumpang tumbuh 24 peratus kepada 3.0 juta, kata Tony.

"Kami menjangkakan untuk membawa sejumlah 20 juta penumpang merentasi Kumpulan AirAsia dalam 2008," katanya.

Faktor muatan bagi tempoh dirujuk adalah 75.4 peratus, di mana ia adalah seperti yang dijangkakan memandangkan syarikat membuat penambahan kapasiti yang ketara 33 peratus dan pengenalan lima laluan baru semasa tempoh itu, katanya.

Airasia menyatakan hasil atau perolehan bagi setiap kilometer tempat duduk tersedia (ASK) meningkat sebanyak 12 peratus, dipacu oleh tambang purata yang lebih tinggi 12 peratus dan sumbangan yang kukuh dari pendapatan sampingan.

Pendapatan sampingan bagi AirAsia terus menunjukkan prestasi cemerlang dengan pertumbuhan 88 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas dan perbelanjaan sampingan untuk setiap penumpang meningkat 52 peratus kepada RM23.1 setiap penumpang.

Pendapatan sampingan sekarang ini merupakan 10.6 peratus daripada jumlah perolehan AirAsia.

"Ini bakal menjadi pemacu bagi margin keuntungan yang kukuh menuju masa depan," kata Tony.

Menurut Tony, kos unit kecuali bahan api, meningkat 10 peratus yang mengagumkan yang timbul dari keuntungan produktiviti dan meningkatnya bilangan pesawat Airbus A320 menyertai kumpulan pesawat.

Katanya operasi Thailand menempuhi tempoh yang mencabar disebabkan pertambahan gangguan politik dalam negara dan penutupan sementara lapangan terbang di Phuket, Krabi, Hadyaai dan Narathiwat.

Sungguh pun keadaan operasi yang menyulitkan ini, operasi Thailand berupaya mencapai faktor muatan 79 peratus yang mengagumkan dan peningkatan 29 peratus dalam tambang purata.

Operasi Thailand juga berupaya mengurangkan kerugian sebanyak 44 peratus berbanding suku sebelumnya yang terdekat walau pun harga bahan api yang jauh lebih tinggi.

Operasi Indonesia sementara itu, meningkat secara ketara dengan hasil yang lebih tinggi sebanyak 61 peratus berbanding tahun lepas dan faktor muatan sebanyak 78 peratus.

"Langkah penyusunan semula laluan ditambah dengan persekitaran persaingan yang lebih baik membolehkan operasi Indonesia mengurangkan kerugian sebanyak 88 peratus berbanding suku sebelumnya yang terdekat," jelasnya.

Berkenaan tinjauan masa depan, Tony berkata suku keempat yang akan datang adalah suku yang paling kukuh buat AirAsia secara tradisinya dan melihat permintaan kukuh yang berterusan bagi perkhidmatannya.

Katanya para pengarah menjangkakan bahawa jika tiada sebarang aral, prestasi kumpulan adalah lebih memuaskan bagi suku keempat. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Banjir di Pahang hampir pulih

Artikel Berkaitan

Artikel Lain