Anggota Parlimen minta usul penting ditimbang semula untuk dibahas - Semasa | mStar

Anggota Parlimen minta usul penting ditimbang semula untuk dibahas

KUALA LUMPUR: Beberapa anggota Parlimen hari ini meminta Yang Dipertua Dewan Rakyat menimbangkan semula keputusan menolak beberapa usul yang dikemukakan, terutamanya bersabit kepentingan negara, isu kemanusiaan dan manusia sejagat bagi membolehkan isu itu dibincangkan di Parlimen. M.Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) berkata terdapat beberapa usul yang ditolak merupakan usul yang baik dan wajar diberikan laluan untuk dibahas oleh anggota Parlimen.

"Sebelum ini Speaker pernah berjanji untuk menimbangkan supaya usul-usul penting boleh dibincangkan, tetapi nampaknya tidak ada perubahan pun," katanya. Pandangan itu turut dikongsi Datuk Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) yang berpendapat bahawa laluan perlu diberi kepada usulusul penting seperti isu Palestin dan kekejaman rejim Zionis untuk dibahaskan bagi melahirkan keprihatinan Parlimen Malaysia.

Perkara itu berbangkit selepas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menolak usul yang dikemukakan oleh Chong Chieng Jen (DAP-Bandar Kuching) bagi membincangkan isu mogok nelayan pada 12 Dis ini. Bersetuju dengan keputusan Wan Junaidi untuk menolak usul berkenaan, kedua-dua anggota Parlimen itu bagaimanapun terus menggesa agar usul-usul lain dipertimbangkan dengan sebaik mungkin.

Wan Junaidi kemudian menjelaskan beliau tidak boleh membuat keputusan mengenai perkara itu tetapi akan membincangkannya bersama Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua lain bagi memastikan usul-usul yang benar-benar untuk kepentingan orang ramai dan memenuhi kriteria Peraturan Mesyuarat dibawa dan dibahaskan bagi menunjukkan Parlimen yakin dan prihatin tentang isu semasa. Bagaimanapun, katanya keputusan yang telah dibuat (Yang Dipertua) adalah muktamad dan tidak boleh diubah. Dalam pada itu, Wan Junaidi juga berjanji untuk membincangkan mengenai desakan beberapa anggota Parlimen pembangkang agar tindakan diambil terhadap Datuk Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) yang didakwa telah mengeluarkan kata-kata kesat dan kurang sopan semalam.

"Saya berasa sedih, kecewa dengan perkataan yang dikeluarkan ahli Parlimen itu, sepatutnya kata-kata kesat, kurang sopan dan tidak baik tidak patut keluar daripada mulut mana-mana ahli Parlimen, ini saya setuju. Saya tidak ada dalam Dewan (semalam) dan hanya dimaklumkan oleh pegawai dan keputusan telah dibuat semalam," katanya.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Ronald Kiandee semalam telah memerintahkan supaya Tajuddin menarik balik katakata beliau bagi mengelakkan berlaku kekecohan berterusan dalam dewan.BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Covid-19: Seminar Dr Azizan diteruskan secara online, tapi auranya ‘fuhhh’ macam buat dalam dewan besar - “Kami tak nak tangguh kejayaan anda”

PENULARAN wabak Covid-19 semakin meruncing berikutan peningkatan mendadak jumlah kes jangkitan virus itu di Malaysia.

default image

TVET ada potensi besar untuk kerjaya masa depan, ini lepasan SPM perlu tahu untuk jadi graduan ‘terhangat di pasaran’

HEBAT calon-calon SPM tahun 2019 apabila pencapaian mereka lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

Artikel Lain