suria

Ambiga Majlis Peguam akan terus suarakan pandangannya

KUALA LUMPUR:Majlis Peguam akan terus menyuarakan pendapatnya dalam apa jua isu yang berlaku dalam negara oleh kerana ini selaras dengan undangundang, kata presidennya, Datuk Ambiga Sreenavasan hari ini.

Ambiga berkata majlis itu berhak memberikan pandangannya oleh kerana kenyataan yang dibuat adalah berkaitan dengan keadilan dan undang-undang.

"Jika orang kata kita mencampuri politik, maka ini bererti mereka tidak faham apa yang sebenarnya kita lakukan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan laman web Bantuan Guaman dan Bilik Bantuan Guaman Majlis Peguam di Kompleks Mahkamah di Jalan Duta, di sini.

Ambiga mengulas kenyataan Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia Tan Sri Abu Zahar Ujang bahawa majlis itu perlu dibubarkan jika ia hendak mencampuri urusan politik.

Abu Zahar mendakwa majlis itu kini bertindak seperti sebuah parti pembangkang, malahan juga mempersoalkan hak istimewa Bumiputera.

"Kenyataan majlis tidak berbaur politik langsung. Kenyataan Majlis Peguam tidak langsung menyentuh politik tetapi mungkin menyentuh beberapa peristiwa politik yang berlaku," kata beliau.

Sambil menyatakan Majlis itu tidak pernah mengubah prinsipnya, Ambiga berkata orang boleh melabel Majlis itu dengan apa jua yang mereka mahu, tetapi paling penting kenytaan Majlis hanya berkaitan keadilan dan keluhuran undang-undang.

Mengenai laman web tersebut, Ambiga berkata orang ramai boleh melayarinya di http:/www.legalaidkl.org/.

Beliau juga menggesa kerajaan membantu membiayai Majlis itu, sebuah organisasi sukarela, oleh kerana ketika ini ia mengendalkan terlalu banyak kes bantuan guaman.

Sejak 2007 Majlis mempunyai kirakira 18,000 kes, kebanyakannya jenayah untuk dikendalikan oleh peguam-peguamnya atas dasar sukarela.

Ambiga berkata beliau telah mengemukakan satu konsep yayasan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz bulan lepas sebagai cara membantu Majlis Peguam dalam hal berkenaan. BERNAMA

Artikel Berikut

54201 pengedar dadah tahun ini

Artikel Lain