suria

Banjir di Pahang hampir pulih

[KEMAS KINI] KUANTAN: Banjir di Pahang semakin pulih apabila hanya 29 mangsa daripada lima keluarga masih ditempatkan di pusat-pusat pemindahan berbanding 91 orang pagi tadi.

Jurucakap bilik gerakan banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang berkata daerah Temerloh mencatatkan seramai 16 mangsa, manakala Cameron Highlands (13).

Beliau berkata kesemua mangsa di daerah Temerloh melibatkan penduduk Kampung Kuala Kaung, Lanchang yang masih ditempatkan di Balai Raya Taman Murni dan Masjid Kampung Kaung.

Sementara itu, 13 mangsa daripada dua keluarga di Cameron Highlands kini ditempatkan di Dewan Orang Ramai Ringlet.

Katanya mangsa banjir di daerah Lipis dan Raub yang masing-masing 57 dan lima orang pagi tadi telah dibenarkan pulang ke rumah kirakira 3.30 petang tadi.

Di KUALA TERENGGANU, paras air di tiga sungai utama di Terengganu menghampiri tahap amaran berikutan hujan yang melanda negeri itu sejak dua hari lepas.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir negeri berkata setakat pukul 4 petang ini, Sungai Besut di Kampung La mencatatkan paras air sungai setinggi 15.08 meter, dengan paras amaran 17.2 meter.

Sungai Dungun di Kampung Pasir Raja pula dilaporkan setinggi 34.58 meter (paras amaran 35.50 meter) manakala Sungai Chalok di Jambatan Penarik, Setiu setinggi 10.79 meter (paras amaran 11 meter).

"Nasihat hujan lebat (peringkat kuning) yang dikeluarkan pada Isnin lepas (24 Nov) kini dinaiktaraf kepada amaran hujan lebat (peringkat jingga) bagi seluruh daerah di Terengganu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Jurucakap itu berkata menurut Jabatan Meteorologi, hujan sederhana kadangkala lebat dari semasa ke semasa di Terengganu dijangka berterusan sehingga Ahad ini.

Beliau berkata keadaan itu boleh menyebabkan banjir di kawasan tanah rendah dan tebing-tebing sungai. BERNAMA

BERITA TERDAHULU

KUANTAN: Bilangan mangsa banjir di empat daerah yang terlibat di Pahang mencecah 91 orang pagi ini.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata, Lipis masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 57 orang diikuti Temerloh (16), Cameron Highlands (13) dan Raub (lima).

"Semua mangsa dari enam kampung di Lipis kini ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara iaitu di Masjid Seberang Jelai, Sekolah Kebangsaan Batu Yon dan Balai Raya Kampung Lentang," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Di Temerloh, mangsa banjir dari Kampung Kuala Kuang, Lanchang ditempatkan sementara di Balai Raya Taman Murni dan Masjid Kampung Kuang.

Mangsa banjir di daerah Raub pula ditempatkan di pusat pemindahan sementara Balai Raya Kampung Pampong dan kedai Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Ajai manakala mangsa banjir di Cameron Hinghlands di Dewan Orang Ramai Ringlet. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain