suria

Banjir di Kelantan dan Terengganu semakin pulih, jumlah mangsa berkurang

Beberapa penduduk di Kedai Lama, Rantau Panjang menggunakan bot untuk berpindah ke tempat yang lebih selamat atau pusat pemindahan selepas rumah mereka dinaiki air
Beberapa penduduk di Kedai Lama, Rantau Panjang menggunakan bot untuk berpindah ke tempat yang lebih selamat atau pusat pemindahan selepas rumah mereka dinaiki air
Beberapa penduduk di Kedai Lama, Rantau Panjang menggunakan bot untuk berpindah ke tempat yang lebih selamat atau pusat pemindahan selepas rumah mereka dinaiki air

KOTA BHARU: Keadaan banjir di Kelantan dan Terengganu petang ini semakin pulih apabila lebih ramai mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan banjir, dibenar pulang ke rumah masing-masing.

Bagaimanapun, daerah Rantau Panjang di Kelantan pula mula dinaiki air hari ini berikutan limpahan Sungai Golok yang melepasi paras bahaya, menyebabkan lebih 200 penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan.

Sehingga pukul 5 petang ini, jumlah mangsa banjir yang masih ditempatkan di 25 pusat pemindahan di negeri ini ialah 853 orang dari 191 keluarga (tidak termasuk di Rantau Panjang) berbanding 3,415 orang pagi ini. Banjir di Kelantan juga meragut satu nyawa hari ini apabila mayat Nik Zulkifli Nik Kob, 25, ditemui hari ini setelah dihanyutkan arus deras ketika memukat ikan di Sungai Sokor, Tanah Merah semalam.

Jurucakap Pusat Kawalan Operasi Bencana Banjir Kelantan berkata, seramai 393 orang masih berada di empat pusat pemindahan di Kuala Krai, 166 orang di tujuh pusat pemindahan di Pasir Mas, 155 orang di tujuh pusat di Tanah Merah dan 139 orang di Jeli.

Sehingga kini hanya Jalan Rantau Panjang-Panglima Bayu yang ditutup kepada semua kenderaan, katanya.

Jabatan Pengairan dan Saliran Kelantan berkata hanya Sungai Kelantan di Kusial dan Sungai Golok di Rantau Panjang berada pada paras bahaya manakala empat sungai utama di Kelantan kini surut dan berada pada paras berjaga-jaga.

Di KUALA TERENGGANU, jumlah mangsa di pusat pemindahan banjir di negeri ini terus berkurangan petang ini apabila seramai 2,773 orang lagi dibenar pulang ke rumah masing-masing.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Negeri, berkata sehingga pukul 4 petang ini, hanya 711 mangsa yang masih berada di 24 pusat pemindahan di seluruh negeri berbanding 3,484 orang pagi ini.

Beliau berkata, seramai 287 mangsa berada di pusat pemindahan di Besut, Setiu (143), Marang (272) dan Hulu Terengganu (9).

"Di Hulu Terengganu, hampir keseluruhan kawasan yang dilanda banjir telah pulih," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengenai paras air sungai, jurucakap itu berkata air Sungai Besut di Jambatan Jertih kini melepasi paras bahaya, iaitu setinggi 9.26 meter, manakala di Kampung La, Besut pula paras air dilapor menurun daripada tahap bahaya kepada paras berjaga-jaga dan di Pengkalan Berangan, air berada di paras amaran.

Jalan Jertih-Hulu Besut, Jalan Pengkalan Berangan-Pulau Kerengga, Jalan Pelong-Sungai Tong dan Jalan Permaisuri-Sungai Tong pula masih ditutup kepada semua kenderaan kerana ditenggelami air sedalam antara 0.8 meter dan 1.5 meter.

Di KUANTAN, jumlah mangsa banjir di Pahang sehingga pukul 5 petang ini ialah 103 orang dari 21 keluarga iaitu 87 orang di daerah Temerloh dan 16 lagi di Cameron Highlands.

Jurucakap bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata mangsa banjir di Temerloh adalah dari Kampung Batu Kapur, Mentakab yang dipindahkan ke ke pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Batu Kapur, tengah hari ini.

Mereka yang dipindahkan di Cameron Highlands terdiri daripada empat keluarga dari Lembah Bertam, Ringlet manakala 12 lagi mangsa dari Kampung Kuang, Lanchang yang sebelum ini ditempatkan di balai raya Taman Murni dibenar pulang tengah hari ini, katanya. BERNAMA

BERITA TERDAHULU

Banjir di Terengganu dan Kelantan semakin buruk, Pahang tidak berubah

KUALA TERENGGANU: Keadaan banjir di Terengganu bertambah buruk apabila jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan pagi ini meningkat kepada 3,484 orang berbanding 1,743 orang petang semalam.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Negeri berkata mangsa yang terlibat dengan perpindahan itu membabitkan 679 keluarga.

"Setakat ini empat daerah di Terengganu terlibat dengan banjir iaitu Besut, Setiu, Hulu Terengganu dan Marang," katanya ketika dihubungi.

Jurucakap itu berkata, daerah Besut paling buruk dilanda banjir apabila jumlah mangsa yang dipindahkan meningkat kepada 1,556 orang berbanding 954 petang semalam, diikuti Setiu (964), Hulu Terengganu (609) dan Marang (355).

Beliau berkata, setakat ini, 51 pusat pemindahan yang membabitkan surau, masjid, sekolah dan dewan serba guna telah dibuka di keempatempat daerah berkenaan.

Jurucakap itu berkata, paras air sungai Besut, sungai Setiu, sungai Nerus dan sungai Marang, juga masing-masing melepasi paras bahaya.

Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu, Kelantan di Km29 dibuka satu lorong sahaja pagi ini manakala Jalan Kuala Berang-Sungai Tong dan Jalan Kuala Berang ke Tasik Kenyir ditutup kepada kenderaan ringan, katanya.

Di KOTA BHARU, keadaan banjir di Kelantan juga semakin buruk apabila jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan meningkat kepada 3,415 orang berbanding 2,397 orang semalam.

Jurucakap Pusat Kawalan Operasi Bencana Banjir (PKOB) Kelantan berkata, sehingga 10 pagi ini, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di 26 pusat pemindahan di empat daerah di Kelantan iaitu daerah Jeli, Tanah Merah, Kuala Krai dan Pasir Mas kini meningkat kepada 3,415 orang melibatkan 620 keluarga.

Katanya, jumlah mangsa banjir meningkat sebanyak 1,018 orang berbanding jumlah yang dilaporkan malam semalam iaitu 2,397 orang. Tiga lagi pusat pemindahan dibuka di daerah Pasir Mas. Jumlah keseluruhan mangsa yang ditempatkan di sembilan pusat pemindahan di daerah Jeli adalah 1,844 orang manakala tujuh pusat pemindahan di daerah Tanah Merah pula melibatkan 346 orang.

Beliau berkata, di daerah Kuala Krai pula, tujuh pusat pemindahan dibuka melibatkan 604 orang dan di daerah Pasir Mas sebanyak tiga pusat pemindahan yang menempatkan 621 orang.

Kesemua jalan utama kini dibuka kepada semua kenderaan kecuali dua buah jalan di daerah Pasir Mas iaitu jalan di Kampung Kajang dan di Kampung Rahmat yang ditutup kepada kenderaan ringan.

Sementara itu, menurut Jabatan Pengairan dan Saliran Kelantan, tujuh sungai utama di Kelantan kini berada pada paras berjaga-jaga manakala satu sungai utama menghampiri paras berjaga-jaga.

Melalui kenyataan yang dipetik daripada laman web jabatan itu, tujuh sungai utama yang melebihi paras berjaga-jaga adalah Sungai Galas di Dabong iaitu di paras 34.94 meter (berjaga-jaga 32 meter), Sungai Lebir di Tualang 27.08 meter (berjaga-jaga 27 meter), Sungai Kelantan di Kuala Krai 23.54 meter (berjaga-jaga 20 meter), Sungai Kelantan di Kusial 16.76 meter (berjaga-jaga 12 meter), Sungai Kelantan di Jeti Kastam 4.39 meter (berjaga-jaga 3 meter), Sungai Golok di Jenob 23.74 meter (berjaga-jaga 21.50 meter) dan Sungai Golok di Rantau Panjang 8.34 meter (berjaga-jaga 7 meter).

Sementara itu satu lagi sungai utama di Kelantan iaitu Sungai Semerak di Pasir Puteh kini berada pada paras 1.52 meter menghampiri paras berjaga-jaga iaitu 2 meter.

Di KUANTAN, keadaan banjir daerah Temerloh dan Cameron Highlands pada pagi ini tidak berubah dengan jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan kekal 25 orang, menurut jurucakap bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang.

Daerah Temerloh masih mencatatkan 12 mangsa dari kampung Kuang, Lanchang yang kini ditempatkan di balai raya Taman Murni manakala 13 mangsa daripada dua keluarga di Cameron Highlands masih berada di dewan orang ramai Ringlet.

Katanya, dua jalan di daerah Bera iaitu jalan Kampung Orang Asli Chuat dan jalan Kampung Orang Asli Ibam masih ditutup kepada kenderaan ringan selepas air setinggi satu meter melimpahi jalan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Wukuf di Arafah, 7 Disember

Artikel Berikut

Artikel Lain