suria

Kuota rumah Bumiputera boleh dijual secara terbuka

KUALA LUMPUR Kuota hartanah yang diperuntukkan untuk kaum bumiputera boleh dijual di pasaran terbuka kepada kaum lain melalui satu mekanisme khas yang diluluskan oleh kerajaan. Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata kuota itu boleh dilepaskan sekiranya tidak terdapat sebarang permintaan daripada kaum bumiputera terhadap hartanah itu selepas suatu tempoh tertentu.

"Dalam keadaan sedemikian (kuota hartanah bumiputera tidak terjual) kementerian akan berunding dengan kerajaan negeri supaya mekanisme ini dapat diberkesankan dan pelepasan dapat dilakukan dengan secepat mungkin sekiranya tidak mendapat permintaan daripada kaum bumiputera," katanya.

Ong berkata demikian ketika menjawab soalan Dr Puad Zarkashi (BN-Batu Pahat) yang bertanya sama ada kerajaan akan menimbang permintaan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) supaya kuota bumiputera bagi pembelian hartanah dibuka kepada kaum lain dan supaya diskaun bumiputera dihapuskan.

Katanya walaupun mekanisme itu mengambil masa untuk dilaksanakan, tetapi ia diwujudkan bagi meringankan beban pemaju yang mempunyai kuota hartanah bumiputera yang tidak terjual.

Mengenai cadangan supaya diskaun untuk bumiputera dihapuskan, Ong berkata kementerian sedang membincangkan perkara itu dengan kerajaan negeri bagi mencari langkah terbaik menangani isu berkenaan. Terdahulu ketika menjawab soalan Billy Abit Joo (BN-Hulu Rajang), Ong mengakui secara umumnya wujudnya keadaan di mana bekalan telah melebihi permintaan dalam pasaran hartanah di negara ini.

Katanya berdasarkan laporan Status Harta Tanah 2008 oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), terdapat 24,151 unit kediaman tidak terjual daripada suku kedua 2007 hingga suku kedua tahun ini.

Ong berkata kementerian memandang berat keadaan itu dan sedang berganding bahu dengan jabatan dan badan kerajaan lain seperti Kementerian Kewangan dan kerajaankerajaan negeri untuk membaik pulih harga pasaran hartanah yang lembap.

Antara langkah yang diambil termasuk mengurangkan duti setem sebanyak 50 peratus ke atas surat perjanjian untuk hartanah yang nilainya di bawah RM250,000 dan mewujudkan satu dana untuk Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) bagi membolehkan mereka yang tidak ada bukti pendapatan yang lengkap mendapatkan pinjaman perumahan.

Pihak pemaju juga digalak mengurangkan harga jualan hartanah mereka atau membina lebih banyak rumah kos rendah dan sederhana, menggalakkan pegawai-pegawai kerajaan menggunakan pinjaman perumahan untuk membeli hartanah dan membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengeluarkan sebahagian wang caruman untuk memberi hartanah. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain