suria

Warga Bangladesh maut dilanggar lari

KUALA KRAI: Seorang lelaki warga Bangladesh maut, manakala dua rakannya cedera selepas dilanggar sebuah kenderaan dalam kejadian di Batu Jong, Kuala Krai, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai, DSP Rahim Ghani berkata, mangsa, Munsur Shamsul, 27, cedera parah di kepala mati sertamerta di tempat kejadian, manakala rakannya, yang dikenali sebagai Md Mashi Rahaman, 28, dan Md Munir Hosen, 30, hanya cedera ringan.

Beliau berkata, sebelum kejadian mangsa yang berjalan kaki di sebelah kiri bersama rakannya dipercayai dalam perjalanan untuk membeli makanan kirakira jam 7.15 malam.

"Ketika itu datang sebuah kenderaan dari arah Kuala Krai menghala ke Kota Baharu, dipercayai dipandu laju sebelum terlanggar mangsa dan dua rakannya.

"Ekoran rempuhan itu mangsa terpelanting dan disahkan meninggal dunia sertamerta kerana cedera parah di kepala," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Kuala Krai (HKK), untuk bedah siasat, manakala dua rakannya masingmasing cedera di lutut dan muka dirawat sebagai pesakit luar.

Sehubungan itu beliau meminta orang ramai atau saksi yang melihat kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai di talian 09-9666222 kerana pemandu kenderaan terbabit masih belum membuat laporan polis berkaitan kemalangan itu dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata, pihaknya juga telah menghubungi kedutaan negara mangsa yang meninggal dunia itu untuk urusan pengkebumian. BERNAMA

Artikel Lain