suria

3 kes rompakan bernilai RM34 JUTA selesai dalam 24 jam

KULIM: Tindakan pantas polis berjaya menyelesaikan tiga kes rompakan berasingan yang membabitkan pelbagai jenis perkakasan komputer yang keseluruhannya bernilai RM3.4 juta di sini minggu lepas dalam tempoh 24 jam selepas kes berkenaan dilaporkan berlaku.

Ketua Polis Daerah Kulim, Supt Ghuzlan Mohd Salleh berkata dalam kes yang dilaporkan berlaku pada 17 November lalu, barangan cakera dan perlatan komputer yang diangkut dengan sebuah lori treler dilaporkan telah dirompak oleh sekumpulan lelaki yang bersenjatakan pistol.

Barangan tersebut dianggarkan bernilai RM1.3 juta, katanya.

Barangan tersebut dipercayai milik dua kilang antarabangsa di kawasan Perindustrian Berteknologi Tinggi Kulim (KHTP).

"Namun tindakan segera pihak polis memintas pergerakan perompakperompak berkenaan telah berjaya mengekang kegiatan itu sehingga menyebabkan mereka dapat diberkas bersama barangan yang dirompak," katanya kepada pemberita hari ini.

Katanya polis pada mulanya menemui sebuah kepala lori treler yang membawa peralatan berkenaan yang ditinggalkan di tepi jalan raya berdekatan sebuah ladang kelapa sawit di Ara Kuda, Seberang Perai, dekat Lunas di sini.

Beliau berkata kes rompakan itu dikatakan berlaku 10 pagi apabila sebuah lori treler yang membawa peralatan tersebut sedang dalam perjalanan dari KHTP ke Singapura.

"Polis yang menerima laporan kejadian pada 5.30 petang, kemudiannya berjaya mengesan kepala lori treler dan kontena yang dibawa oleh treler itu yang didapati kosong, di dua lokasi berasingan.

"Barangan dalam kontena itu kemudiannya ditemui semula di dalam sebuah lori biasa di Jelutong, Pulau Pinang pada hari yang sama," katanya.

Ghuzlan berkata berhubung kes itu tujuh lelaki telah ditahan, tetapi empat daripada mereka telah dibebaskan sementara tiga lagi yang berusia dari 35 hingga 40 tahun sedang ditahan sebelum didakwa.

Sehari sebelum itu, turut berlaku rompakan apabila seorang peniaga dari Taman Senangin di sini melaporkan bahawa peralatan server, mother board komputer dan beberapa peralatan komputer bernilai RM20,000 telah lesap dari premisnya.

Menurut Ghuzlan, hasil tindakan susulan berikutnya, polis berjaya memberkas seorang lelaki berusia 41 dan mendapatkan semula barangbarang yang dirompak tersebut di sebuah rumah di Kuala Ketil pada hari yang sama.

Dalam kejadian seterusnya pada 22 Nov, tujuh lelaki yang bersenjatakan parang panjang telah mengikat tiga pengawal keselamatan di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Waja di sini sebelum melarikan 720 unit peralatan komputer termasuk mother board dan LCD monitor bernilai RM2.1 juta dengan sebuah lori. Lori itu sebelum itu telah dilaporkan hilang di Ipoh.

Ekoran tindakan segera polis, tiga lelaki berusia 50an telah ditahan dan sebuah lori yang bermuatan barangan komputer yang dilaporakan lesap dari kilang berkenaan dijumpai semula di kawasan Bukit Tengah, Seberang Perai pada hari yang sama, kata Ghuzlan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain