suria

Dua syarikat didakwa terima deposit RM37 juta tanpa lesen

KOTA BHARU: Dua syarikat pelaburan, penaung dan empat pengarah dua syarikat itu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan menerima deposit berjumlah RM37.08 juta tanpa lesen yang sah.

Pan Phoenix Dina Sdn Bhd, yang beralamat di Taman Bendahara, Pengkalan Chepa, di sini dituduh menerima deposit RM34.08 juta daripada 1,451 pelabur di antara 13 Sept, 2006 hingga 7 Jun 2007.

Business Time Dina Sdn Bhd yang beralamat di Wisma Harun Mat Saat, Lot 4442/4445, Jalan Padang Tembak, Kampung Beris Panchor, Pengkalan Chepa pula dituduh menerima pelaburan berjumlah RM3 juta daripada enam syarikat di antara 4 Jan hingga 26 Mac 2008.

Pan Phoenix Dina Sdn Bhd diwakili peguam Mohd Noor Abd Hamid dan Business Time Dina Sdn Bhd yang diwakili peguam Tajuddin Abdullah mengaku tidak bersalah terhadap kesalahan itu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 25 (1) Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan 1989 yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda sehingga RM10 juta atau keduaduanya, jika sabit kesalahan.

Penaung kedua-dua syarikat berkenaan, Harun Mat Saat, 42, mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan iaitu membantu menguruskan Syarikat Business Time Dina Sdn Bhd yang telah menerima deposit daripada beberapa syarikat tanpa lesen yang sah di antara 4 Jan hingga 26 Mac 2008.

Dia juga dituduh membantu dalam pengurusan Pan Phoenix Dina Sdn Bhd, yang telah menerima deposit daripada orang awam tanpa lesen yang sah antara 13 Sept 2006 hingga 7 Jun 2007.

Dua pengarah Syarikat Pan Phoenix Dina Sdn Bhd, M Bakri Kamaruddin, 47, dan Zainal Md Yusof, 44, mengaku tidak bersalah menerima deposit daripada orang awam tanpa lesen yang sah manakala dua pengarah Syarikat Business Time Dina Sdn Bhd, Hasri Mohd Noor, 38, dan Hazlan Abd Hamid, 36, juga mengaku tidak bersalah menerima deposit daripada beberapa syarikat tanpa lesen yang sah bagi tempoh yang sama.

Hakim Dazuki Ali membenarkan kelima-lima tertuduh, masingmasing diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin dan memerintah dokumen perjalanan mereka diserahkan kepada mahkamah.

Beliau kemudian menetapkan 13 Jan depan untuk sebutan semula kes bagi membolehkan Harun, M Bakri, Zainal, Hasri dan Hazlan melantik peguam bela.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa dari Bank Negara, Mohd Shukri Ahmad Mansor. BERNAMA

Artikel Lain