suria

Enam cedera dalam dua kejadian amuk di Pahang

RAUB: Enam termasuk seorang parah akibat ditetak dalam dua kejadian amuk di Raub dan Temerloh semalam.

Dalam kejadian di Raub, seorang lelaki dipercayai kurang siuman secara tibatiba mengamuk di hadapan rumahnya di No 79, Taman KSN, Sungai Ruan mengakibatkan tiga lelaki yang berada di situ tidak sempat menyelamatkan diri.

Ketua Polis Daerah Raub Supt Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata kejadian pada pukul 12.30 tengah hari itu menyebabkan seorang lelaki yang hanya dikenali sebagai Hoi Koi, 54, cedera parah apabila perutnya terbelah akibat libasan parang.

"Mangsa dihantar ke Hospital Sultan Ahmad Shah (HSAH) Temerloh dan kini dilapor masih dalam keadaan kritikal," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata dua lagi mangsa, Ng Ah Ka, 51, luka di dada manakala Ko Kit Lung, 82, luka di tangan dan mereka kini dirawat di Hospital Raub.

Beliau berkata suspek berusia 36 tahun yang dipercayai pernah mendapat rawatan di Hospital Bentong itu melarikan diri ke dalam hutan berhampiran selepas kejadian itu. Dia ditahan di sebuah stesen minyak di sini hari ini.

Dalam kejadian di Temerloh pula, tiga beranak yang sedang menikmati hidangan makan malam di sebuah restoran di Taman Rimba, Mentakab cedera apabila ditetak anggota keluarganya sendiri.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh DSP R. Sundaralingam berkata dalam kejadian yang dilapor berlaku pada pukul 10.45 malam itu, seorang lelaki bersenjatakan parang tibatiba meluru masuk ke restoran itu lalu menetak ibu, abang dan kakak iparnya di kepala dan tangan.

Beliau berkata lelaki berusia 35 tahun itu berjaya ditangkap oleh beberapa pelanggan restoran berkenaan dan diserah kepada polis. Polis turut merampas sebilah parang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

"Ketiga-tiga mangsa yang dirawat di HSAH kini dilapor stabil manakala suspek yang turut cedera akibat pergelutan dengan pelanggan yang cuba meleraikan kejadian itu juga menerima rawatan di HSAH di bawah pengawasan polis," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain