913 kakitangan awam dibenar kerja sambilan - Semasa | mStar

913 kakitangan awam dibenar kerja sambilan

KUALA LUMPUR Kerajaan meluluskan sebanyak 913 daripada 934 permohonan kakitangan awam untuk melakukan kerja sambilan bagi menambah pendapatan sejak Jun lepas, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mohd Johari Baharum.

Beliau berkata kelulusan diberi kerana kerja sambilan itu tidak bercanggah dengan peraturan yang ditetapkan seperti tidak dilakukan dalam waktu bekerja dan tidak menjejaskan tugas mereka.

"Permohonan adalah daripada kalangan pegawai peringkat rendah dan golongan profesional seperti guru, pensyarah dan doktor... dari Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) hanya melibatkan lima orang," katanya menjawab soalan Datuk Razali Ibrahim (BN-Muar) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Johari berkata kakitangan awam digalakkan membuat kerja sambilan termasuk doktor dan guru menggunakan kepakaran masingmasing di luar waktu kerja tanpa menjejaskan prestasi mereka.

"Contohnya para guru mengadakan kelas tambahan, pensyarah boleh berceramah, doktor membuka klinik untuk menambah pendapatan masingmasing," katanya.

Beliau berkata usaha juga dilakukan untuk menarik minat 250 lulusan perubatan dari luar negara yang tidak pulang berkhidmat selepas tamat belajar kerana pendapatan kecil di dalam negara.

Razali bertanya jumlah pegawai kerajaan yang memohon untuk mengambil kerja sambilan dan langkah kerajaan memantau prestasi mereka agar tidak menjejaskan produktiviti semasa melaksanakan tugas utama sebagai pegawai kerajaan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain