suria

Surat sumpah tidak diiktiraf sebagai sijil lahir

KUALA LUMPUR: Surat sumpah tidak boleh diterima atau diiktiraf sebagai sijil lahir asal, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata surat sumpah itu bagaimanapun boleh membantu dalam proses pengeluaran sijil lahir seseorang yang tidak didaftarkan ketika lahir atau lewat daftar.

Setiap kelahiran yang didaftarkan akan dikeluarkan dengan Perakuan Kelahiran (Sijil Kelahiran) oleh Pendaftar Besar Kelahiran dan Kematian.

"Oleh itu hanya Sijil Kelahiran yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara sahaja yang diiktiraf dan sah di sisi undangundang untuk segala urusan rasmi," katanya ketika menjawab soalan Datuk Siringan Gubat (BN-Ranau) pada persidangan Dewan Rakyat di sini.

Wan Ahmad Farid berkata kelahiran yang berlaku di Malaysia perlu didaftar selaras dengan peruntukan Seksyen 7 Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299) bagi Semenanjung Malaysia, Seksyen 9 Ordinan Pendaftaran Kelahiran dan Kematian Sabah bagi Sabah dan Seksyen 10 Ordinan Pendaftaran Kelahiran dan Kematian Sarawak bagi Sarawak.

Ketika menjawab soalan tambahan M. Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat), beliau berkata kerajaan telah menubuhkan Pasukan Petugas Khas di seluruh negara bagi membantu menyelesaikan masalah ketiadaan sijil lahir dalam kalangan penduduk negara ini.

Katanya pasukan itu juga bertanggungjawab membantu mereka yang disifatkan sebagai "stateless", iaitu orang yang tidak ada kewarganegaraan, dan hanya dapat membuktikan mereka lahir di negara ini.

"Operasi mengeluarkan Kad Hijau kepada mereka yang stateless ini telah bermula Sabtu lepas bagi membantu mereka menjalani kehidupan biasa di negara kita," katanya. BERNAMA

Artikel Lain