suria

Zainal PKR Sarawak ramal pilihan raya negeri diadakan tahun depan

KUCHING: Parti Keadilan Rakyat (PKR) meramalkan pilihan raya negeri ke-10 akan diadakan pertengahan tahun depan ekoran perkembangan terbaru politik di negeri ini yang menyaksikan bekas pemimpin dan anggota Barisan Nasional (BN) menyertai parti itu.

Timbalan Pengerusi PKR Sarawak Wan Zainal Abidin Wan Senusi, yang membuat ramalan itu, hari ini berkata kemasukan anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Ngemah, Gabriel Adit Demong, bekas anggota Parlimen kawasan Sri Aman, Jimmy Donald dan beberapa pemimpin BN dan hampir 12,000 anggota BN akan memperkukuhkan PKR di Sarawak.

"Saya optimistik bahawa lebih ramai pemimpin BN akan menyertai PKR dalam waktu terdekat," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mendakwa terdapat petunjuk yang penduduk Sarawak mahukan perubahan terutama berhubung dasar tanahnya.

Adit, 58, yang memenangi kerusi itu atas tiket Bebas pada pilihan raya negeri 20 Mei, 2006, menghantar permohonan untuk menyertai PKR Sabtu lepas. Dengan kemasukannya, parti itu kini mempunyai dua anggota dalam Dewan Undangan Negeri.

Seorang lagi ialah Dominic Ng yang juga pengerusi PKR negeri dan wakil rakyat Padungan. BERNAMA

Artikel Lain