suria

AirAsia mungkin terbang ke Uzbekistan kata PM

TASHKENT (Uzbekistan): Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata AirAsia kemungkinan terbang ke Uzbekistan dalam usaha untuk mewujudkan hubungan udara antara keduadua buah negara.

Perdana Menteri berkata beliau telah memberitahu Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tony Fernandez mengenai perkara itu dan Tony bersetuju untuk mengkaji perkara itu secepat mungkin.

"Presiden Uzbekistan Islam Karimov mahu kita wujudkan satu hubungan udara dan saya rasa AirAsia dapat memainkan peranan itu kerana ia merupakan sebuah syarikat penerbangan tambang murah," katanya kepada para wartawan Malaysia di sini pada hari ketiga daripada lawatan rasmi empat hari ke negara ini.

Pada masa ini, Uzbekistan Airways terbang dua kali seminggu ke Malaysia dan balik manakala Malaysian Airlines mengendalikan laluan itu melalui perkongsian kod dengan syarikat penerbangan tersebut.

Mengenai Memorandum Persefahaman (MOU) yang kurang dilaksanakan selepas ditandatangani di masamasa yang lepas, Abdullah percaya iklim perniagaan di negara itu akan bertambah baik apabila ia meliberalisasikan lagi ekonominya.

MOU itu termasuk kerjasama di dalam bidang perkhidmatan udara, keselamatan dan menentang keganasan, perdagangan, pelancongan, sumber galian, teknologi maklumat dan komunikasi.

Uzbekistan, yang tidak berpantai, terletak di Asia Tengah dan mendapat kemerdekaan pada 1991 selepas perpecahan Kesatuan Soviet.

Sambil mengakui mengenai kesukaran untuk mengendalikan importeksport dengan negara yang tidak berpantai, Abdullah berkata keduadua buah negara berupaya meningkatkan perdagangan dua hala masing-masing kepada AS$40 juta pada tahun lepas berbanding dengan AS$12 juta pada 2006.

Eksport utama Malaysia ialah minyak sayursayuran, minyak sawit, peralatan elektrik dan elektronik, perabot, produk getah, bahan bercetak dan produk kulit manakala eksport utama Uzbekistan termasuk kapas dan perkhidmatan udara.

Walau pun angka perdagangan meningkat dengan ketara, Abdullah berkata angka itu masih disifatkan sebagai kecil disebabkan potensi besar peluang perniagaan yang boleh ditawarkan oleh kedua-dua buah negara.

Sebagai contoh, katanya Presiden Uzbekistan bersedia untuk menawarkan lebih banyak konsesi minyak dan gas kepada syarikat minyak kebangsaan Malaysia, Petronas, seperti yang ditunjukkan oleh keupayaan besar syarikat itu di dalam melaksanakan aktivitinya di negara ini.

Petronas telah melabur AS$90 juta sehinga ini bagi eksplorasi dan projek minyak dan gas di empat kawasan Baisun, Laut Aral, Surkhanski dan Urga.

Pelaburan Petronas bagi tempoh tiga tahun akan datang di Uzbekisan dianggarkan sekitar AS$150 juta hingga AS$200 juta.

Abdullah berkata Petronas telah turut melaksanakan projek tangung jawab sosialnya di negara ini dengan menawarkan beberapa biasiswa kepada rakyat Uzbekistan untuk belajar di dalam industri minyak dan gas di Universiti Teknologi Petronas di Malaysia.

Pelancongan merupakan satu lagi bidang yang berpotensi bagi diadakan kerjasama antara keduadua buah negara kerana Uzbekistan boleh menawarkan pakej pelancongan Islam, terutama sekali untuk melawat Samarkand, sebuah bandaraya di mana ketamadunan Islam bermula. BERNAMA

Artikel Lain