suria

Angkasawan nafi kumpul RM1.2 juta hasil ceramah, kementerian tiada aduan

GAMBAR FAIL... Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha menyampaikan ceramah kepada murid-murid Sekolah Kebangsaan Seri Bintang Utara sempena sambutan Hari Kanank-Kanak 2008 peringkat sekolah itu di Taman Shamelin Perkasa, Kuala Lumpur pada 24 Oktober lalu. -fotoBERNAMA
GAMBAR FAIL... Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha menyampaikan ceramah kepada murid-murid Sekolah Kebangsaan Seri Bintang Utara sempena sambutan Hari Kanank-Kanak 2008 peringkat sekolah itu di Taman Shamelin Perkasa, Kuala Lumpur pada 24 Oktober lalu. -fotoBERNAMA
GAMBAR FAIL... Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha menyampaikan ceramah kepada murid-murid Sekolah Kebangsaan Seri Bintang Utara sempena sambutan Hari Kanank-Kanak 2008 peringkat sekolah itu di Taman Shamelin Perkasa, Kuala Lumpur pada 24 Oktober lalu. -fotoBERNAMA

[DIKEMAS KINI] PETALING JAYA: Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha menafikan dakwaan yang beliau mengenakan bayaran sehingga RM8,000 sejam untuk berceramah dan telah mengumpulkan RM1.2 juta hasil siri ceramah sejak setahun lalu.

Angkasawan pertama negara itu juga menafikan telah mengadakan ceramah membabitkan 150 korporat setakat ini.

Tegas Sheikh Muszaphar, dakwaan bahawa beliau menerima beribu-ribu ringgit bagi setiap ceramah adalah tidak benar.

"Dakwaan ini tidak benar," kata beliau ketika dihubungi mStar Online petang tadi.

Jelas Sheikh Muszaphar, beliau tidak mengenakan bayaran jika diundang untuk memberi ceramah bagi sekolah.

"Sehingga kini (sepanjang setahun lalu) saya sudah memberi ceramah kepada kira-kira 200 sekolah dan kurang 10 korporat. Ada laporan (media) mengatakan saya sudah memberikan ceramah kepada 150 korporat, itu tidak betul sama sekali.

"Bagi sekolah, saya tidak mengenakan sebarang bayaran tetapi ada yang memberikan sumbangan, dan sumbangan ini saya simpan dalam tabung dana arwah adik saya (Sheikh Mustapha Al Masrie, yang meninggal tahun lalu) untuk masa depan dua anak dia," katanya.

Bagi korporat, jelas beliau, pihak yang berhasrat untuk menjemputnya bagi tujuan ceramah seharusnya menghubungi beliau terus tanpa melalui mana-mana pihak.

"Saya tidak pernah minta (bayaran) dan fokus saya masa sekarang ialah sekolah," katanya.

Keluarga beliau ketika ditemui The Star juga menafikan dakwaan tersebut.

Bapa beliau, Datuk Sheikh Mustapha Syed Shukor dan abangnya Sheikh Taufik yang biasanya akan menemui angkasawan negara menghadiri majlis ceramah menolak laporan sedemikian.

Kata Sheikh Taufik: "Beliau tidak mendapat bayaran bagi program-program di bawah kendalian program Angkasawan, antaranya ceramah di sekolah."

"Kadangkala beliau membawa bukunya (Reaching for the Stars) tetapi kesemua hasilnya dimasukkan dalam tabung dana anak arwah adiknya.

"Beliau tidak cerewet kerana duit tetapi kesal kerana melepaskan kerja itu kepada pihak ketiga," katanya ketika ditemui.

Mengikut laporan media, beliau telah memperoleh pendapatan hampir RM1.2 juta hasil siri ceramah yang dilakukannya di seluruh negara sejak tahun lalu.

Sheikh Muszaphar menjadi rakyat pertama negara ini mengiktui program angkasa lepas, yang menjadi kenyataan Oktober 2007.

Sheikh Muszaphar berkata, beliau berhasrat untuk menyumbangkan khidmatnya kepada negara walaupun kontrak dengan kerajaan berakhir hujung bulan depan.

"Ini minat saya dan adalah sesuatu yang rugi jika pengalaman saya tidak digunakan dengan sebaik mungkin," katanya.

Terdahulu Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi menjelaskan pihaknya belum menerima apa-apa aduan secara rasmi mengenai dakwaan bahawa Sheikh Muszaphar mengenakan bayaran RM8,000 untuk satu jam berceramah.

Menterinya, Datuk Dr. Maximus Ongkili berkata, sekiranya perkara itu benar seperti yang didakwa oleh akhbar itu, pihak pengadu boleh membuat aduan secara rasmi kepada kementerian.

"Setakat ini kita belum menerima apa-apa aduan secara rasmi.

"Sekiranya wujud seperti yang didakwa pihak akhbar, maka pihak yang mengadu boleh membuat aduan secara rasmi dan kita akan meneliti perkara itu sama ada ia bertentangan dengan syarat kontrak," kata beliau ketika ditemui selepas majlis Anugerah Inovasi Negara, Kuala Lumpur hari ini.

Ongkili menjelaskan, kontrak kedua-dua angkasawan negara Sheikh Muszaphar dan Mejar Dr. Faiz Khaleed akan tamat pada 31 Disember ini.

Katanya, berdasarkan kontrak yang ditandatangani antara kedua-dua angkasawan negara itu dan kementerian, mereka perlu membabitkan diri dalam semua program promosi dan penggalakkan yang diaturkan kementerian dan agensi-agensinya.

Mereka juga dilarang untuk menerima apa-apa ganjaran selain daripada ganjaran yang diberikan oleh kementerian, katanya.

Apabila ditanya sama ada kontrak kedua-dua angkasawan itu akan disambung, Ongkili berkata, pihaknya bercadang untuk memperbaharui kontrak Faiz untuk persiapan misi pada masa depan manakala Sheikh Muszaphar pula belum ada permohonan diterima daripada beliau untuk memperbaharui kontraknya.

Artikel Lain