suria

Wartawan The Star anak diikat sebelum dirompak

KUANTAN: Seorang wartawan wanita akhbar The Star bersama dua anak lelakinya diikat sebelum disamun di rumahnya di Kampung Jeram dekat Beserah, di sini awal pagi Khamis lepas.

Wartawan berusia 43 tahun itu yang enggan disiarkan namanya berkata kejadian tersebut berlaku pada 3.15 pagi ketika beliau bersama empat anak lelakinya yang berusia antara 7 hingga 13 tahun sedang tidur.

Tiga lelaki termasuk dua daripadanya memakai kopiah memecah bilik tidurnya di bahagian atas sebelum mengikat tanganya dan dua daripada anaknya.

"Saya menjerit ketakutan dan diacukan parang oleh suspek supaya diam sebelum ketiga-tiga mereka menggeledah rumah saya," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Menurutnya, suspek yang mengambil sejumlah wang tunai, barangan kemas, dua unit komputer riba dan jam tangannya yang kesemuanya bernilai kira-kira RM28,000 kemudiannya melarikan diri melalui kawasan hutan di belakang rumahnya.

Katanya, sebelum melarikan diri suspek yang disyaki mengamalkan ilmu hitam telah meninggalkan najis mereka di sekitar rumah tersebut.

Mangsa bagaimanapun berjaya melepaskan diri dengan meminta pertolongan pembantu rumahnya yang sedang tidur dan tidak menyedari kejadian itu di tingkat bawah, sebelum memaklumkan kejadian itu kepada polis.

Ketika kejadian suami mangsa berada di Indonesia atas urusan kerja.

Berikutan insiden itu, mangsa berharap pihak polis segera menyelesaikan kes tersebut selain berusaha mengesan suspek terbabit memandangkan kes sedemikian telah kerap kali berlaku di kawasan berkenaan.

Malah katanya, kejadian seperti itu yang menggunakan modus operandi sama pernah berlaku ke atas jiran di hadapan rumahnya dua bulan lepas namun masih tiada penyelesaian sehingga kini.

"Kejadian ini bukan sahaja mendatangkan trauma kepada diri dan keluarga saya malah kepada jiran yang pernah menjadi mangsa penyamun dan beberapa penduduk berdekatan yang lain," katanya.

Beliau mendakwa sejak enam bulan lepas difahamkan terdapat kira-kira 12 kes sedemikian berlaku di sekitar kawasan Beserah dan beliau berharap pihak polis segera mengambil tindakan berhubung kejadian itu dan tidak menunggu sehingga berlaku kes yang membabitkan kematian mangsa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Supt Kamaruddin Kutik ketika dihubungi Bernama mengesahkan menerima laporan berhubung kes itu.

Beliau berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan rapi selain mempergiatkan rondaan dan pemeriksaan ke atas buruh-buruh asing di sekitar kawasan tapak pembinaan berdekatan.

"Kita masih belum dapat pastikan sama ada beberapa kes yang berlaku sebelum ini termasuk kes terbaru ini dilakukan suspek yang sama atau pihak lain kerana kita masih belum mendapat petunjuk yang jelas," kata beliau. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain